Terlalu banyak rasanya kita dengar kisah kecurian, penganiayaan, dan kes pukul berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Jika bulan lepas kita dikejutkan dengan kisah warga emas dirompak ketika berjalan kaki di Pulau Pinang, kali ini ada lagi kisah manusia tak berhati perut sampai hati memperlakukan orang tua yang tidak berdaya dengan kejam.
Menurut Berita Harian, seorang wanita warga emas dikenali sebagai Tan telah dimasukkan ke Hospital Serdang pada 13 Disember yang lalu selepas dirompak di rumahnya di Seri Kembangan. Dalam kejadian jam 9 pagi tersebut, warga emas itu dikatakan telah ditemui dalam keadaan lemah oleh anak saudaranya.
Bukan sahaja dirompak, warga emas berusia 83 tahun itu turut dipukul dengan kejam oleh manusia tidak berhati perut yang memecah masuk rumahnya. Kecederaan teruk dialami oleh Tan menyebabkan pendarahan dalam otak dan membawa kepada kematiannya pada 17 Disember yang lalu.
“Mangsa dibawa ke hospital dengan kesan lebam pada muka dan bengkak di kedua-dua belah kaki,” kata Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, Ketua Polis Daerah Serdang.
Setelah mayat Tan dijumpai dalam keadaan separuh bogel, pihak polis tidak menolak kemungkinan bahawa warga emas itu telah dirogol. Pun begitu, hasil siasatan lanjut melaporkan bahawa tiada serangan seksual berlaku ke atasnya kecuali terdapat kesan akibat dipukul, pendarahan dalaman dan patah tulang rusuk.
Melarikan barang kemas yang dianggarkan bernilai RM2,000, perompak tersebut dikatakan telah masuk ke rumah warga emas berkenaan dengan memecahkan dinding kayu di sebelah tepi rumah lalu menyerang mangsa yang ketika itu berada di bilik utama.
“Siasatan forensik di tempat kejadian menemui kesan tapak kasut di hadapan pintu bahagian dapur dan kesan darah di dalam rumah mangsa,” kata Megat lagi.
Pihak polis yang tidak dapat mengesan cap jari suspek kerana permukaan kotor dan berhabuk walau bagaimanapun telah menahan empat lelaki warga Indonesia yang berusia dalam lingkungan 30-an di Seri Kembangan yang dipercayai terbabit dalam kes itu.
“Kita juga turut merampas kasut yang dipercayai digunakan oleh suspek ketika kejadian.”
Suspek tersebut kini ditahan reman sehingga 31 Disember dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Manusia jenis apa la ni sanggup pukul warga emas yang tidak berdaya!
Baca: Warga Emas Dipukul Teruk dan Dirompak Ketika Berjalan Kaki di Pulau Pinang