Seorang pelajar berusia 10 tahun, Punithamalar Rajashekar baru-baru ini menerima pengiktirafan daripada Guinness World Record selepas berjaya mencatat masa terpantas semasa menyusun set catur sambil mata ditutup dalam tempoh 45.72 saat dan meletakkannya sebagai penyusun catur sambil mata ditutup terpantas di dunia.
Percubaan bagi mencatatkan rekod berkenaan telah dijalankan di SJK Tamil Menglembu di Ipoh dan dihadiri oleh pihak pengurusan sekolah dan ahli PIBG sekolah berkenaan pada 19 Mei 2023 dan sijil rasmi daripada Guinness World Record kemudian diterima oleh Punithamalar pada 8 September.
Artikel berkaitan : 8 ‘Orang Istimewa’ Yang Mungkin Korang Tak Tahu Wujud Dalam Dunia
Artikel berkaitan : Ambil Masa 1 Jam Untuk Keringkan & Sikat, Remaja Lelaki Ini Dinobat Miliki Rambut Terpanjang Di Dunia
Menurut laporan WeirdKaya, pelajar ini telah mengikuti kursus penguasaan otak selama empat bulan sebelum percubaan untuk mencatatkan rekod ini.
Tambah Punithamalar lagi, dia sememangnya gemar bermain catur sejak kecil dan memutuskan untuk mencabar dirinya dengan mengatur set catur dengan mata tertutup sambil mendapat galakan daripada bapanya.
“Melihat orang ramai mencabar limitasi mereka dan mencapai pencapaian luar biasa benar-benar memberi inspirasi kepada saya”
Difahamkan, idea untuk mencatat rekod ini terhasil selepas dia menonton dokumentari tentang pencapaian luar biasa yang pernah dilakukan oleh manusia.
Bercita-cita untuk menjadi seorang saintis angkasa lepas, Punitha akui dia merasakan gabungan keseronokan dan gementar pada hari percubaan rekodnya.
Menurut sumber, Punitha juga telah memenangi beberapa anugerah termasuk Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang Asia Tahun 2022-2023, dan telah mempamerkan kemahirannya dalam pelbagai pertandingan, seperti Malaysia’s Kids Got Talent.