Exit survey mungkin bukanlah sesuatu yang asing buat sesetengah individu sebab ada beberapa pusat pengajian di negara ini juga memerlukan para pelajarnya melengkapkan borang kajian setiap akhir semester yang selalunya akan disertakan dengan ruangan penambahbaikan.
Pun begitu, bagi seorang wanita ini pula, dia terkejut selepas menerima exit survey daripada lelaki yang baru sahaja pergi on a date dengannya selepas janji temu mereka berakhir pada hari itu.
Mirror melaporkan, wanita yang hanya dikenali sebagai Katrina itu berkongsi pengalaman uniknya itu di laman sosial TikTok. Difahamkan, Katrina sebenarnya sudah lima tahun tidak pergi ke mana-mana janji temu mencari pasangan namun selepas diajak rakannya, Graham, Katrina setuju untuk keluar bersamanya.
Jelas Katrina, 26, dia sudah sedikit terkejut apabila Graham ada menghantar satu pautan Google form kepadanya yang menanyakan beberapa soalan mengenai temu janji yang bakal mereka pergi bersama.
“Ada bermacam soalan dalam Google form itu antaranya, temu janji macam mana yang saya mahu, bagaimana cara saya mahu dia (Graham) berpakaian semasa temu janji, hidangan apa yang saya mahu makan semasa date itu berlangsung, pukul berapa saya rasa waktu yang sesuai untuk bertemu janji dan sebagainya,” katanya.
Katrina difahamkan, telah memilih untuk pergi menonton wayang sebagai aktiviti temu janji pertama mereka.
“Selepas saya bersetuju, dia (Graham) menanyakan pada saya jika ada gaya pakaian yang saya mahu dia kenakan pada hari itu. Tapi, saya hanya memilih kod kasual. Saya rasa jika saya minta dia pakai sut, dia pasti akan buat,” jelas Katrina lagi.
Tidak cukup dengan itu, Graham juga ada menghantar kad jemputan kepada Katrina meskipun wanita itu sudah setuju untuk keluar bersamanya. Tambah wanita berkenaan, temu janji itu memang sangat menarik dan Graham benar-benar melayannya seperti ratu. Selepas temu janji tamat, Graham ada memberikan exit survey kepada Katrina untuk dilengkapkan.
“Dalam exit survey itu, Graham mahu saya beri markah pada semua yang kami buat pada hari itu untuk menunjukkan tahap kepuasan saya. Malah, dia juga ada meninggalkan ruangan penambahbaikan untuk diisi supaya dia dapat memperbaiki diri sebelum kami keluar untuk janji temu lain,” katanya.
Perkongsian Katrina di laman sosial TikTok itu menarik perhatian ramai dan rata-rata netizen memuji tindakan Graham yang dianggap seperti seorang gentleman. Malah, ada juga yang menulis Graham baru sahaja menetapkan tahap yang perlu diikuti lelaki lain untuk mengajak wanita disukai keluar berjanji temu bersama.
Untuk pengetahuan, Katrina dan Graham kini sudah sah bercinta. Meskipun merupakan pasangan jarak jauh, Katrina dan Graham masih lagi keluar berjanji temu apabila berkesempatan.
Sumber: Mirror
Baca: Lelaki Ini Guna Google Form Ajak Gadis Idaman ‘On Date’, Unik Dan Comel!