in

Setiap Hari Ditempuh dengan Satu Harapan, Membalas Pengorbanan Keluarga

Collage 2

Bagi sesetengah mahasiswa, kehidupan kampus bukan sekadar tentang kuliah, tugasan dan peperiksaan. Ada hari-hari yang menuntut mereka memilih bagaimana wang yang terhad perlu dibahagikan antara makanan, bahan pembelajaran atau keperluan esok.

Itulah realiti Muhammad Ammar bin Mohd Zulkefli, Mohamad Aiman Affendi Azmi dan Nur Alya Nadhirah binti Mohd Jusoh, tiga mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang melalui cabaran berbeza dalam menguruskan kehidupan di kampus. 

Ammar Bukan Hanya Berjuang untuk Diri Sendiri

Muhammad Ammar Bin Mohd Zulkefli Melihat Program Santun Pelajar Mekdi Sebagai Ruang Untuk Menguruskan Keperluan Harian Dan Meneruskan Pengajian Dengan Lebih Tenang Scaled

Ammar merupakan pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Pelancongan) dengan Kepujian dan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Ayahnya bekerja sebagai pemandu lori, manakala ibunya seorang suri rumah. Pesanan ibunya supaya menghabiskan pengajian terus menjadi pegangannya. Bagi Ammar, impian memperoleh ijazah membawa harapan untuk menjadi graduan pertama dalam keluarga dan membalas pengorbanan ibu bapanya. 

Namun, ada masanya wang yang ada perlu dibahagikan dengan begitu cermat sehingga makan terpaksa dikurangkan.

“Sebelum ini, ada masanya saya terpaksa mengurangkan makan kerana bimbang wang tidak mencukupi. Kebiasaannya saya hanya makan sekali sehari.

“Dengan adanya baucar pada hari Selasa dan Khamis, sekurang-kurangnya pada hari tersebut saya dapat makan dua kali,” katanya.

Melalui Program Santun Pelajar Mekdi, Ammar menerima baucar Nasi Mekdi yang boleh ditebus pada hari berkenaan. Penjimatan itu memberi ruang kepadanya untuk menguruskan bahan pembelajaran dan keperluan tidak dijangka. 

Walaupun turut berdepan kekangan sendiri, Ammar tetap melihat keperluan mahasiswa lain. Melalui peranannya dalam MPP, beliau membantu menyampaikan maklumat mengenai bantuan yang tersedia dan menghubungkan pelajar kepada saluran sokongan universiti.

Baginya, membantu orang lain menjadi sebahagian daripada amanah yang dibawa sebagai wakil pelajar. 

Sebagai Anak Sulung, Aiman Belajar Erti Tanggungjawab

Mohamad Aiman Affendi Azmi Menggunakan Penjimatan Daripada Baucar Nasi Mekdi Untuk Membantu Menguruskan Perbelanjaan Hari Berikutnya Sekali Gus Mengurangkan Kebergantungannya Kepada Keluarga Scaled

Bagi Aiman, menjadi anak sulung daripada tiga beradik membuatkan beliau memahami erti berjimat lebih awal.

Ayahnya bekerja sebagai buruh dan menjadi pencari nafkah utama keluarga, manakala ibunya seorang suri rumah. Menyedari pendapatan ayahnya turut diperlukan untuk dua adiknya, Aiman jarang meminta wang kecuali apabila benar-benar perlu.

Ketika cuti semester atau mempunyai masa lapang, pelajar tahun pertama Sarjana Muda Keusahawanan (Kesejahteraan) dengan Kepujian itu mengambil kerja buruh bagi menampung sebahagian perbelanjaannya sendiri. 

Sebab itu, nilai satu hidangan membawa makna tersendiri buatnya.

“Dengan adanya baucar Nasi Mekdi, saya dapat menjimatkan sedikit daripada perbelanjaan makan malam dan menyimpan wang itu untuk kegunaan pada hari berikutnya,” katanya.

Bagi Aiman, penjimatan kecil hari ini membantunya menguruskan keperluan esok tanpa terlalu bergantung kepada ibu bapanya.

Selepas tamat pengajian, beliau mahu menimba pengalaman dan membina sumber pendapatan yang stabil agar dapat berkongsi tanggungjawab keluarga bersama ibu bapanya. 

Di Sebalik Kiosk Nasi Bajet, Ada Impian Besar Alya

Alya pula belajar berdikari melalui pengalaman yang sangat dekat dengan kehidupan mahasiswa.

Ayahnya bekerja sebagai pemandu bas, manakala ibunya seorang suri rumah. Tidak mahu menambah tekanan kewangan keluarga, pelajar Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Kesejahteraan) dengan Kepujian itu bekerja sambilan di sebuah kiosk yang menjual nasi bajet kepada pelajar. 

Bagi Alya, baucar Nasi Mekdi membantu mengurangkan sebahagian perbelanjaan makanannya. Namun, apa yang lebih menyentuh hatinya ialah apabila keperluan mahasiswa seperti dirinya turut diberi perhatian.

“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur dan gembira kerana baucar ini sedikit sebanyak membantu meringankan perbelanjaan saya sebagai seorang pelajar. Saya juga rasa dihargai apabila ada pihak yang memahami dan mengambil kira keperluan mahasiswa seperti kami,” katanya.

Alya berharap dapat membina kerjaya yang stabil dan meneroka peluang dalam bidang keusahawanan. Jika diberikan rezeki, beliau juga mahu membantu mereka yang memerlukan.

“Insya-Allah, membantu orang lain memang menjadi salah satu impian saya. Sekiranya diberikan rezeki dan kemampuan, saya mahu membantu mereka yang memerlukan, terutama dari segi sumbangan dan keperluan asas,” katanya. 

Satu Program, Tiga Bentuk Impak

Sebahagian Mahasiswa Umk Turut Hadir Dan Diraikan Sempena Majlis Penyerahan Zakat Korporat Mcdonalds Malaysia Yang Berlangsung Di Mcdonalds Pandu Lalu Pengkalan Chepa Scaled

Kisah Ammar, Aiman dan Alya menunjukkan bahawa satu hidangan boleh membawa makna berbeza kepada setiap mahasiswa.

Bagi seorang pelajar, ia bermakna dapat makan dengan lebih teratur. Bagi yang lain, ia memberi ruang untuk menyimpan sedikit wang untuk hari berikutnya. Ada juga yang melihatnya sebagai tanda bahawa cabaran mahasiswa tidak dianggap remeh. 

Di UMK, sebanyak 8,000 baucar Nasi Mekdi diperuntukkan kepada pelajar. Di Kelantan pula, Program Santun Pelajar melibatkan lima institusi pengajian tinggi dengan keseluruhan 54,800 baucar untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukan. 

Dalam inisiatif berasingan sempena Majlis Penyerahan Zakat Korporat McDonald’s Malaysia di Kelantan, Ammar, Aiman dan Alya turut menerima sumbangan komputer riba bersama 12 pelajar asnaf UMK yang lain untuk menyokong keperluan pembelajaran mereka. 

Program Santun Pelajar bermula pada Februari 2026 dengan pengagihan 50,000 hidangan Nasi Mekdi sepanjang Ramadan dan kini diperluaskan ke 75 institusi pengajian tinggi di seluruh negara. Setakat ini, lebih 400,000 baucar telah diagihkan, dengan sasaran sehingga satu juta baucar menjelang akhir 2026. 

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Dato’ Haji Azmir Jaafar berkata, “Kami percaya tiada pelajar yang seharusnya perlu memilih antara menghadiri kelas dan mendapatkan hidangan yang mencukupi. Melalui Program Santun Pelajar, kami mahu membantu meringankan sebahagian daripada cabaran harian mahasiswa agar mereka dapat memberi tumpuan kepada pendidikan, meneruskan pengajian dengan lebih yakin dan merealisasikan potensi masing-masing.” 

Bagi Ammar, Aiman dan Alya, bantuan yang diterima mungkin sederhana, tetapi ruang yang diberikan membawa makna yang besar.

Ammar mahu menjadi graduan pertama dalam keluarganya dan terus membantu mahasiswa lain. Aiman mahu suatu hari nanti berkongsi tanggungjawab keluarga bersama ibu bapanya, manakala Alya berharap kejayaannya kelak turut memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.

Perjalanan mereka berbeza, tetapi harapannya sama, untuk menjadikan pendidikan sebagai jalan membalas pengorbanan keluarga dan membina kehidupan yang lebih baik.