Selepas 3 Tahun Menanti, Jiggy Masin & Dhabitah Sabri Timang Cahaya Mata Sulung!

Penantian selama tiga tahun akhirnya terjawab apabila pelawak dan pengacara popular, Jiggy Masin bersama isterinya yang juga penerjun negara, Dhabitah Sabri selamat menimang cahaya mata sulung mereka pada 24 November lalu.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Jiggy atau nama sebenarnya Mohamad Aizat Ahmad Nazri, 36, meluahkan rasa syukur atas kelahiran bayi lelaki itu yang disifatkan sebagai detik paling bermakna dalam hidupnya, lebih-lebih lagi apabila dia tidak pernah menyangka akan dikurniakan rezeki bergelar bapa pada usia sekarang.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana akhirnya, selepas tiga tahun menanti, Allah SWT memberikan rezeki untuk saya menjadi seorang ayah. Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir akan sampai ke fasa ini, apatah lagi pada usia sekarang.
Apabila bayi selamat dilahirkan, perasaan itu sukar digambarkan. Saya teruja, gembira dan dalam masa sama masih tidak percaya dengan apa yang berlaku. Saya bersyukur kerana semuanya dipermudahkan dan isteri serta anak berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Mengimbas kembali detik cemas sebelum proses kelahiran, Jiggy mengakui wujud rasa bimbang namun dia dan isteri meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pasukan perubatan demi keselamatan kedua-duanya.
“Sudah tentu ketika itu saya berasa risau, tetapi kami percaya kepada doktor dan keputusan yang terbaik untuk keselamatan isteri serta anak. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dan saya sangat lega apabila melihat anak dilahirkan dengan selamat pada pukul 4.33 petang, Selasa lalu,” jelasnya.
Dalam pada itu, pelawak berkenaan turut mengakui dirinya kini sedang menyesuaikan diri dengan fasa baharu serta menyelami pelbagai emosi yang bercampur-baur selepas bergelar seorang bapa.
Menurut Jiggy, meskipun belum mengetahui segala-galanya, dia menganggap fasa itu sebagai satu proses pembelajaran dan berazam untuk menjadi ayah yang terbaik buat anaknya.
Baginya, tanggungjawab sebagai seorang bapa bukan sekadar menyediakan keperluan material semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kehadiran dalam kehidupan anak, memahami dirinya serta membimbingnya sepanjang proses membesar.
Sementara itu, pasangan ini memilih untuk belum mendedahkan nama cahaya mata pertama mereka kepada umum buat masa ini, namun berjanji akan berkongsi perkara tersebut kepada peminat apabila tiba masanya nanti.
“Buat masa ini, nama anak kami belum dikongsikan. Insya-Allah, apabila tiba waktunya, kami akan berkongsi nama dan mungkin lebih banyak cerita mengenai anak kami.
Sekarang, saya mahu menikmati dahulu pengalaman menjadi seorang ayah. Ini merupakan pengalaman baharu yang sangat berharga dan saya tidak mahu terlepas setiap detik bersama anak,” tambahnya.
Untuk rekod, Jiggy dan Dhabitah mendirikan rumah tangga pada 28 April 2023.
Sumber: Utusan Malaysia
Nak cerita macam ni sampai dulu?
Jadikan Lobak Merah sumber pilihan di Google.



