Setiap Oktober, McDonald’s Malaysia menganjurkan Bulan Komuniti Mekdi, program tahunan yang mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat melalui sambutan bersama anak-anak dan para penjaga dari rumah atau institusi kebajikan.
Memasuki tahun ke-10 sejak diperkenalkan pada 2017, inisiatif ini terus membawa semangat keprihatinan melalui perkongsian masa, perhatian dan keceriaan bersama komuniti.
Lebih 100 Restoran, Satu Semangat Yang Sama

Tahun ini, lebih 100 restoran McDonald’s di seluruh negara mengambil bahagian dengan menyantuni lebih 140 rumah kebajikan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sambutan diadakan di rumah kebajikan mahupun restoran McDonald’s, membolehkan anak-anak diraikan dalam suasana yang berbeza.
Di sebalik skala program ini, setiap restoran mempunyai ceritanya sendiri, terjalin melalui keprihatinan pasukan restoran dan hubungan bermakna bersama komuniti.
Bagi Mohd Hafifi Kamis, Pengurus Besar Restoran di McDonald’s Pandu-Lalu Amanjaya, Sungai Petani, Kedah, yang telah terlibat sejak 2021, Bulan Komuniti menjadi peluang untuk memupuk semangat keprihatinan dalam kalangan kru.
“Bagi kami, Bulan Komuniti merupakan peluang untuk menggalakkan kru memainkan peranan dalam menyantuni masyarakat. Melihat pasukan kami bersama-sama menjayakan inisiatif ini dan membawa kegembiraan kepada mereka yang diraikan memberikan kepuasan tersendiri. Kami berharap usaha ini dapat memberi kesan positif kepada komuniti serta menyemai semangat untuk terus berkongsi kebaikan,” katanya.
Bagi Mohd Nasruddin Bin Taha, Guest Experience Leader (GEL) di McDonald’s Pandu-Lalu Batu Buruk, Terengganu, pengalaman menyediakan sambutan dan meluangkan masa bersama anak-anak memberikan perspektif berbeza tentang makna Bulan Komuniti.
“Antara perkara yang paling bermakna ialah melihat reaksi anak-anak apabila sambutan hari jadi mereka diraikan. Melihat mereka tersenyum, menikmati kek dan bergembira bersama rakan-rakan membuatkan segala persiapan terasa berbaloi. Momen seperti ini mengingatkan saya bahawa perhatian yang sederhana boleh membawa kegembiraan yang besar kepada seseorang,” katanya.
Pengalaman ini mencerminkan semangat Bulan Komuniti yang dikongsi oleh pasukan restoran di seluruh negara.
Bukan Sekadar Sambutan Hari Jadi

Memasuki tahun ke-10, sambutan hari jadi kekal sebagai antara usaha utama Bulan Komuniti Mekdi. Tahun ini, beberapa aktiviti turut memberi peluang kepada anak-anak untuk mengambil bahagian secara lebih aktif.
Anak-anak dari Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras, misalnya, mengikuti bengkel menghasilkan video dan mencipta ucapan hari jadi untuk rakan-rakan mereka. Anak-anak dari rumah kebajikan lain turut menghasilkan hadiah buatan tangan melalui aktiviti seni dan kraf. Hasil kreativiti ini menjadi sebahagian daripada sambutan, memberikan sentuhan peribadi kepada hari istimewa mereka.
Bagi pihak rumah kebajikan, nilai sambutan ini turut terletak pada peluang untuk anak-anak mencuba pengalaman baharu dan merasai keprihatinan orang di sekeliling mereka.
“Bagi anak-anak kami, apabila ada yang datang meluangkan masa dan meraikan hari jadi mereka, mereka berasa amat terharu. Peluang mencuba aktiviti baharu dan bergembira bersama rakan-rakan menjadikan sambutan ini lebih bermakna. Kami berterima kasih kepada McDonald’s Malaysia atas perhatian serta sokongan yang diberikan kepada anak-anak dalam jagaan kami,” kata Jamaludin Bin Wahab, Pengetua Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras.
Komitmen Yang Melangkaui Satu Bulan

Bulan Komuniti Mekdi merupakan sebahagian daripada usaha kemasyarakatan McDonald’s Malaysia yang dilaksanakan sepanjang tahun. Lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan dijalankan setiap tahun, merangkumi penyediaan moreh untuk masjid dan surau pada Ramadan, penghargaan kepada guru serta aktiviti bersama warga emas dan keluarga yang memerlukan.
Sempena Bulan Komuniti tahun ini, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) turut menyalurkan sumbangan tunai kepada rumah kebajikan terpilih di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu memenuhi keperluan anak-anak di bawah jagaan mereka.
Bagi Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, hubungan erat dengan masyarakat kekal menjadi asas kepada usaha berterusan ini.
“Menjadi sebahagian daripada komuniti dan menyumbang kepada kesejahteraannya sentiasa menjadi teras McDonald’s Malaysia. Sepanjang 10 tahun Bulan Komuniti Mekdi, pasukan restoran kami telah meluangkan masa bersama anak-anak dan para penjaga serta membina hubungan dengan rumah kebajikan di sekitar mereka. Kami mahu terus menjadi jiran yang prihatin dan hadir untuk masyarakat,” katanya.
Satu Dekad, Digerakkan Sepenuh Hati oleh Pasukan Mekdi

Sepanjang sedekad, Bulan Komuniti Mekdi telah menjadi platform untuk pasukan restoran menjalinkan hubungan lebih erat dengan masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti dan sambutan bersama rumah kebajikan.
Justeru, usaha ini bukan sekadar sambutan tahunan, akan tetapi ini mencerminkan komitmen McDonald’s Malaysia untuk terus berkongsi keceriaan, meluangkan masa dan memainkan peranan positif dalam komuniti yang menjadi sebahagian daripada kehidupan setiap restoran.
