in

Dua Wartawan Kemalangan Ketika Bertugas Di Ipoh, PERKESO Tampil Bantu Urus Pemulihan

Lm Featured Image 900 X 550 Px 2160 X 1080 Px 63

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Dua wartawan wanita yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Menglembu, Ipoh, awal pagi Ahad lalu, layak menerima bantuan alat pemulihan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi membantu proses pemulihan mereka.

Menurut kenyataan PERKESO, kedua-dua wartawan berkenaan dilindungi di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 menerusi skim LINDUNG Pekerja.


Insiden itu turut dikategorikan sebagai Bencana Kerja kerana mereka sedang dalam perjalanan untuk melaksanakan tugasan rasmi.

Kereta Dirempuh Lori Ketika Dalam Perjalanan Buat Liputan

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, kereta yang dinaiki wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Nur Afiradina Arshad, 34, dan wartawan The New Straits Times, Zaharatulhayat Mat Arif, berhenti di persimpangan lampu isyarat berhampiran Taman Kledang Permai sebelum dirempuh sebuah lori dari arah belakang.

Akibat rempuhan itu, kereta mereka dilaporkan berpusing beberapa kali.

Ketika kejadian, kedua-duanya dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke Bagan Datuk bagi membuat liputan program rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Nur Afiradina mengalami kecederaan pada bahagian leher sehingga memerlukan alat sokongan leher, selain luka pada badan dan kaki bengkak akibat terseliuh.

Beliau yang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dibenarkan keluar hospital pada Ahad dan diberikan cuti sakit selama sebulan.

PERKESO memaklumkan bantuan alat pemulihan yang bersesuaian akan diberikan kepada Nur Afiradina selepas pihaknya menerima laporan perubatan daripada doktor.

Sementara itu, Zaharatulhayat mengalami bengkak pada pipi dan kedua-dua belah tangan. Beliau menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama dan diberikan cuti sakit selama tiga hari.

PERKESO turut memaklumkan bahawa keadaan Zaharatulhayat akan terus dipantau sekiranya beliau masih belum pulih dan perlu melanjutkan tempoh cuti sakit bagi memastikan proses pemulihannya berjalan dengan baik.

PERKESO Tak Tunggu Mangsa Datang, Skuad Prihatin Terus Bertindak

Apa yang menarik, kedua-dua mangsa tidak perlu hadir ke pejabat PERKESO untuk menguruskan tuntutan mereka.

Sebaliknya, Skuad PERKESO Prihatin bertindak pantas mendapatkan maklumat kedua-dua wartawan sejurus selepas kejadian bagi memudahkan urusan pengurusan faedah.

Menurut PERKESO, pendekatan itu mencerminkan perubahan budaya kerja organisasi berkenaan yang kini lebih proaktif dalam memastikan pencarum mendapat perlindungan sosial yang sewajarnya.

“Pendekatan ini jelas mencerminkan transformasi budaya kerja PERKESO masa kini yang proaktif mengamalkan konsep mencari pencarum, bukan sekadar lihat dan tunggu.”

PERKESO turut menegaskan bahawa perubahan itu dilakukan bagi memastikan hak perlindungan sosial dapat disalurkan tanpa kelewatan kepada golongan yang memerlukan.

Bagaimanapun, PERKESO memaklumkan bahawa bagi Nur Afiradina, yang tidak mempunyai caruman PERKESO, pihaknya akan membantu menyalurkan kes berkenaan kepada agensi berkaitan menerusi program Social Synergy supaya bantuan bersesuaian dapat dipertimbangkan berdasarkan keperluan dan kelayakannya.

PERKESO turut memberi jaminan akan terus memantau perkembangan kesihatan kedua-dua wartawan itu bagi memastikan bantuan serta sokongan kebajikan yang bersesuaian dapat diuruskan dengan sebaik mungkin.

“Keselamatan dan kesejahteraan pengamal media yang sering berdepan risiko tinggi di lapangan sentiasa menjadi keutamaan. PERKESO juga mendoakan agar kedua-dua wartawan wanita tersebut segera sembuh daripada kecederaan yang dialami.”

Semoga kedua-dua wartawan berkenaan diberikan kesembuhan segera dan dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa.

Sumber: Kenyataan Media Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.