Penyanyi popular, Saleem meninggal dunia hari ini pada jam 6.15 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras.
Berita berkenaan disahkan oleh anak tirinya, Iera Fakhira.
Akibat hentakan kuat kemalangan, otak Saleem bengkak
Saleem dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, PPUKM selepas kemalangan jalan raya di Bandar Mahkota Cheras, tiga minggu lalu.
Dalam kejadian di Kilometer 16 Lebuhraya Grand Saga itu, 12 tulang rusuk Saleem patah termasuk satu daripadanya tertusuk paru-paru.
“Akibat hentakan kuat ketika kemalangan, otaknya bengkak, sekali gus menyukarkan penafasannya.”

“Selepas koma hampir dua minggu, arwah mula sedar, tetapi keadaannya semakin lemah,” menurut anak bongsu Allahyarham, Muhammad Amirul Mukmin.
Doktor hubungi keluarga selepas bapa dilaporkan kritikal
Berdasarkan laporan BH Online, Amirul berkata doktor memaklumkan keluarga keadaan Saleem semakin kritikal pada jam 5.30 pagi.

Jenazah penyanyi lagu Suci Dalam Debu itu akan dibawa ke surau As-Syakirin di Bukit Mahkota, Cheras untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara.
Dalam kemalangan yang berlaku, motosikal Saleem dirempuh oleh pemandu kereta semasa beliau menunggang motosikal dari arah Kajang menghala ke Cheras berhampiran Plaza Tol Batu 11, Kajang.