in

Isu Rumah Sembelihan Halal: KL Cuma Ada 4 Premis Beriktiraf?

Syaz Ft 4

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Isu status kesucian bekalan ayam segar mencetuskan kebimbangan pengguna apabila hanya empat rumah sembelihan di ibu kota disahkan lulus dan mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada JAKIM.

Menurut laporan Berita Harian (BH), angka empat premis yang benar-benar diiktiraf Halal di Kuala Lumpur itu adalah yang kedua terendah di seluruh negara selepas Perlis. Keadaan ini menimbulkan persoalan besar memandangkan populasi Muslim di Kuala Lumpur mencecah 45.3 peratus daripada 1.98 juta penduduk.


Artikel berkaitan: Ayam Dah M*ti Baru Sembelih, Polis Bongkar Gudang Haram Di Puchong & Rampas Ayam Bernilai RM85K

Artikel berkaitan: JAKIM Siasat Isu Video Tular Sembelihan Ayam Didakwa Tidak Sah Di Pasar Pudu

Laporan BH turut mendedahkan sebahagian besar rumah sembelihan lain hanya beroperasi bersandarkan tauliah penyembelih tanpa memohon SPHM daripada JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

JAKIM menegaskan tauliah penyembelih berbeza dengan SPHM. Premis yang hanya ada tauliah penyembelih tidak dibenarkan memaparkan logo Halal kerana tidak tertakluk kepada penilaian terperinci merangkumi aspek kebersihan, peralatan, dan pengendalian premis.

Situasi ini mendedahkan risiko kebergantungan terhadap rumah sembelih ‘zon kelabu’ tanpa pemantauan pihak berkuasa agama. Selain Kuala Lumpur, Selangor turut mencatatkan jumlah rendah dengan hanya 27 premis halal bagi 6.99 juta penduduk, manakala Johor merekodkan pemegang sijil terbanyak iaitu 41 premis.

Dalam laporan sama difahamkan usaha sedang dijalankan bagi mendapatkan perincian lanjut daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengenai jumlah sebenar rumah sembelihan yang beroperasi di seluruh negara.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.