Umum mengetahui, suntikan vaksin akan diberikan secara berperingkat buat rakyat di negara ini.
Baru-baru ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata akan mempertimbangkan cadangan untuk memberi keutamaan kepada penderma darah lebih 50 kali bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Adham Baba, KKM akan mengemukakan cadangan ini kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
Cadangan ini dikemukakan oleh penderma darah yang meminta agar mereka diberi keutamaan dalam pemberian suntikan vaksin Covid-19.
Untuk rekod, jumlah beg darah yang didermakan di seluruh negara pada tahun lepas menurun 12.3 peratus berbanding tahun 2019 yang berjaya mengumpulkan 652,671 beg darah.
Bagaimanapun, Dr Adham berkata stok bekalan darah masih lagi pada paras yang mencukupi setakat ini.
KKM kini sedang mengkaji untuk mengkomersialkan Sistem Pengurusan Bank Darah yang dibangunkan oleh Pusat Darah Negara (PDN). Sistem ini akan meliputi data penderma darah, pendaftaran penderma dan kakitangan PDN.