Susulan insiden kemalangan membabitkan helikopter yang digunakan untuk perkhidmatan Flying Doctor Service (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan untuk menangguhkan sementara semua operasi FDS di negeri itu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan siasatan serta semakan terhadap aspek keselamatan dan operasi dijalankan oleh pihak berkaitan.
Bagaimanapun, perkhidmatan Pemindahan Perubatan (Medevac) bagi kes kecemasan masih akan diteruskan menerusi kerjasama KKM dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Pada masa sama, KKM juga akan berbincang dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi
meneroka usaha menggunakan aset ATM untuk pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dapat dipindahkan ke fasiliti kesihatan yang bersesuaian.
“KKM akan melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap keseluruhan kerangka penyampaian perkhidmatan FDS di Sarawak, termasuk aspek kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, keperluan liputan serta keberkesanan model penyampaian perkhidmatan sedia ada.
“Penilaian ini bertujuan memastikan pendekatan yang akan dilaksanakan pada masa
hadapan adalah lebih selamat, berdaya tahan, mampan dan responsif terhadap keperluan kesihatan masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak,” katanya.

Artikel berkaitan: “Pernah terbang sekali masa PRU15…” – PMX Luah Rasa Sebak, Hubungi Bapa Allahyarham Kapten Zainol
Artikel berkaitan: “Tiada sebab untuk hentikan” – KKM Teruskan Flying Doctor Service
KKM turut menilai semula lokasi serta kaedah akses FDS, termasuk mencari alternatif pengangkutan dan pendekatan lain yang lebih selamat dan praktikal.
Dr Dzulkefly berkata, KKM memahami kesulitan dan cabaran yang mungkin timbul susulan penangguhan sementara ini.
“Walau bagaimanapun, keselamatan petugas dan pesakit kekal menjadi keutamaan KKM, di samping memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.”
KKM juga akan terus memantau perkembangan situasi dan memaklumkan sebarang perkembangan terkini kepada orang awam dari semasa ke semasa.
Sumber: KKM
