Pusat Kuarantin Dan Rawatan Covid-19 (PKRC) merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi membendung penularan wabak tersebut dan salah satu PKRC bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Sebelum ini, PKRC MAEPS ditutup pada 8 Februari lepas selepas melihat penurunan kes wabak tersebut, bagaimanapun, disebabkan peningkatan kes baru-baru ini, pusat kuarantin itu bakal dibuka semula.
Dibuka dalam kapasiti yang lebih kecil
Dalam sidang media Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini, diumumkan PKRC MAEPS bakal dibuka semula mulai esok (25 Februari).
Sebelum ini, dalam laporan Berita Harian, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim, menyatakan PKRC MAEPS berkemungkinan hanya boleh memuatkan kira-kira 850 pesakit COVID-19 berbanding sebelum ini yang boleh mencecah 5,000 pesakit pada satu masa.
Dia juga berkata PKRC tersebut akan beroperasi di dewan di blok yang berbeza dengan sebelum ini.
“Secara ringkasnya PKRC itu masih terletak di MAEPS namun saiz kawasan, bangunan, fungsi dan pasukan penugasannya berbeza. Jumlah pesakitnya pun lebih kecil dan mudah diuruskan iaitu kira-kira 850 pesakit. Kita jangkakan PKRC ini akan sedia dalam masa terdekat,” – Datuk Dr Aminuddin Hassim
Sebelum ini, sebuah hantaran oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah viral, dimana kelihatan beberapa petugas menyusun serta menyiapkan katil di Dewan A, MAEPS.
Semoga kita dijauhkan dari wabak ini, stay safe semua!