Pemergian dalam keadaan beribadah bukan sahaja menyentuh hati ramai pihak, bahkan dianggap sebagai kematian yang dicemburui.
Tular di TikTok, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan detik pemergian seorang lelaki ketika menunaikan solat Isyak di surau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Taman Daya, Johor Bahru, telah mengundang sebak warganet.
Menerusi perkongsian dibuat seorang wanita yang dipercayai anak saudara kepada arwah, lelaki yang dikenali sebagai Allahyarham Abdul Malik Zakaria itu difahamkan bekerja sebagai pengawal keselamatan meninggal dunia pada Isnin lalu.
Sujud & doa jadi detik terakhir perjalanan dunia
Wanita itu meluahkan rasa syukur kerana menyifatkan pemergian bapa saudaranya itu sebagai satu kematian yang indah dan pastinya dicemburui ramai.
“Keluar bekerja mencari rezeki halal untuk keluarga, dan akhirnya kembali kepada Pencipta dalam keadaan yang sangat dicemburui ramai.
“Arwah rebah ketika tahiyat akhir solat Isyak, saat hati dan jasadnya sedang menghadap Allah SWT.
“Tiada siapa menyangka, sujud dan doa pada malam itu menjadi detik terakhir perjalanan hidupnya di dunia,” kongsinya.
@snowerrewons Keluar bekerja mencari rezeki yang halal buat keluarga, dan akhirnya kembali kepada Pencipta dalam keadaan yang sangat dicemburui ramai. Arwah rebah ketika berada dalam tahiyat akhir solat Isya, saat hati dan jasad sedang menghadap Allah SWT pada 15/6/26. Tiada siapa menyangka, sujud dan doa pada malam itu menjadi detik terakhir perjalanannya di dunia. Seorang insan yang menghabiskan harinya mencari nafkah untuk keluarga, dan mengakhiri kehidupannya dalam ibadah kepada Tuhan di surau JPJ Taman Daya JB. Semoga setiap titik peluh yang dicurahkan demi keluarga menjadi amal jariah yang berterusan, dan semoga Allah menerima segala amal kebaikannya, mengampuni segala khilafnya serta menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba yang beriman dan beroleh rahmat. Pergi dalam keadaan yang sedang mengingati Allah, satu pengakhiran yang menjadi dambaan ramai. Al-Fatihah buat arwah paksu, ABDUL MALIK BIN ZAKARIA🤍
Artikel berkaitan: “Pemergian yang dicemburui”- Imam Meninggal Dunia Dalam Keadaan Bersujud Ketika Imamkan Solat Subuh
Artikel berkaitan: “Kematian yang dicemburui…” – Gadis Meninggal Dalam Kemalangan, Ramai Jemaah Tunggu Untuk Solat Jenazah
Hantaran itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang turut menzahirkan rasa sebak sambil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah.
Salah satu komen yang ditinggalkan dipercayai anak kepada Allahyarham, Noramalina mengucapkan terima kasih kerana mendoakan arwah bapanya.
“Antara perkara paling saya ingat tentang ayah ialah kecintaannya kepada rumah Allah. Selagi diberi kesihatan, dia akan cuba hadir ke masjid atau surau terdekat dan membantu apa yang termampu.
“Suka membantu orang tanpa mengharapkan balasan, menghormati ibu bapa, dan sentiasa mengutamakan keluarga. Semoga itu menjadi antara amalan yang memberatkan timbangan kebaikannya di akhirat,” katanya.

Dalam pada itu, warganet juga mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Sumber: TikTok
