Sebelum ini, Lobak Merah pernah melaporkan isu mengenai satu poster jemputan kahwin yang mengenakan bayaran masuk RM50 kepada tetamu yang hadir. Tular setelah dikongsikan ke media sosial, poster terbabit turut mendapat perhatian ahli agama.
Kali ini, satu kejadian sama turut dilaporkan berlaku di negara luar apabila seorang model dari United Kingdom (UK), menerima kecaman daripada pengguna media sosial selepas dia membuat keputusan untuk mengenakan bayaran sehingga AS$112 (RM498.40) hanya untuk hadirkan diri pada majlis perkahwinannya.
Wion News melaporkan, Carla Bellucci, 40, akan berkahwin dengan pasangannya, Jovani, 52, di Cape Verde. Difahamkan, Bellucci telah membelanjakan wang lebih RM200,000 untuk majlis berkenaan. Pun begitu, Bellucci telah meminta tetamu membayar hampir RM500 untuk menghadiri majlis mewah berkenaan.
Tidak cukup dengan itu, setiap tetamu juga diminta untuk membayar sendiri makan minum mereka selain perlu membayar harga tiket penerbangan dan caj hotel penginapan.
Media tempatan melaporkan, Bellucci yang merupakan bekas model glamour tetapi kini merupakan seorang influencer media sosial dan pasangannya juga sudah menempah beberapa ekor kuda putih dan membeli beberapa gaun mewah untuk hari bahagia mereka. Selain itu, pasangan terbabit turut telah membelanjakan wang sekitar RM33,373 untuk cincin perkahwinan mereka.
Sumber: Wion News