in

Penagih Tergamak Tetak Ibu Bapa Dengan Gergaji Kerana Berang Dilaporkan Kepada AADK

3Bb5B26E00000578 4075240 Image A 86 1483075761692

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Salah satu tugas anak adalah untuk menjaga ibu bapa dengan penuh kasih sayang, lebih-lebih lagi apabila mereka semakin tua. Namun begitu, lain pula jadinya kepada pasangan suami isteri warga emas di Jitra ini yang parah kerana dipukul oleh anak lelaki mereka!


Pasangan tersebut dipercayai telah dipukul dan ditetak oleh anak kandung mereka di Kampung Baru Sri Muda, Alor Biak pada jam 11 pagi. Menurut Utusan, lelaki berkenaan baru sahaja keluar dari sebuah pusat pemulihan dadah beberapa bulan lalu dan kini tidak mempunyai pekerjaan.

Rumah
sumber: kosmo

Sebelum mencederakan kedua ibu bapanya, lelaki berusia 28 tahun itu dikatakan mengamuk kerana mendapat tahu bahawa ibunya telah melaporkan masalah ketagihan dadah yang dihadapinya kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Berang dengan apa yang dilakukan ibunya, lelaki tersebut mula memarahi dan menengking wanita itu yang berada di dapur.

Bukan itu sahaja, lelaki itu malah tergamak memukul serta menetak kedua orang tuanya menggunakan alat penimbang air dan gergaji tangan!

Gergaji
gambar hiasan

Ibunya bagaimanapun berjaya melarikan diri ke rumah jiran sementara bapanya pula terbaring di dapur rumah. Jiran yang terkejut melihat ibunya dalam keadaan lemah dan muka berlumuran darah kemudian segera melaporkan hal tersebut ke Pondok Polis Sungai Korok sebelum anggota polis bergegas ke tempat kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Ismail Ibrahim, lelaki berusia 28 tahun tersebut sedang duduk mencangkung di hadapan rumahnya sewaktu pihak polis tiba, bersama sebilah gergaji disampingnya.

Hasil ujian awal saringan air kencing lelaki berkenaan disahkan positif dadah jenis ganja, heroin dan syabu sewaktu insiden kejam itu berlaku.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek dilihat duduk mencangkung di depan rumah bersama satu gergaji di sebelahnya dan dia kemudiannya ditahan.”

Kedua-dua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Jitra untuk rawatan lanjut,” kata Mohd Ismail.

Kecemasan
gambar hiasan

Akibat serangan itu, bapanya mengalami kecederaan di bahagian perut manakala ibunya mengalami luka pada pipi kanan dan bahu selain lebam di seluruh badan dan patah ibu jari tangan kanan.

Bagaimanapun, menurut Harian Metro, bapa suspek dilaporkan telah mengalami kecederaan dalaman iaitu saluran urat darah dalam perut pecah dan dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk rawatan lanjut. 

Malangnya, Berita Harian melaporkan bahawa bapa suspek yang berusia 67 tahun itu disahkan meninggal dunia awal pagi tadi ketika menerima rawatan. Suspek telah berjaya ditahan dan sebatang gergaji besi serta penimbang air hijau panjang dirampas untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tergamaknya anak ini memukul ibu bapa sendiri, apatah lagi mencederakan mereka yang membesarkan kita dari kecil hingga dewasa. Semoga kita semua mengambil iktibar dan tidak jadi macam lelaki ini… 

Baca: “Tolonglah encik, jangan tahan saya. Saya ada anak kecil” – Rayu Ibu Ketagih Dadah

Dadah

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.