Pada zaman sekarang, macam-macam perkara yang orang sanggup buat demi duit. Jenayah mencuri, merompak, menyamun seakan-akan telah menjadi isu yang biasa diperkatakan.
Orang jahat juga semakin berani dalam melakukan jenayah. Terbaru, tular sebuah perkongsian mengenai seorang pekerja yang dikatakan telah ditipu oleh seorang lelaki sebanyak RM1,000.
Menurut entri Facebook Ika Zulaikha, kejadian itu telah berlaku pada jam 2.55 petang semalam di Myfeet Gurney Plaza, Pulau Pinang tempat dia bekerja.
Pada ketika itu, dia dan seorang lagi pekerja di kedai tersebut telah didatangi oleh seorang lelaki berbangsa India. Lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai Steven, seorang pekerja yang menyelenggara pendingin hawa di pusat beli belah berkenaan.
Steven dikatakan telah menunjukkan resit jumlah bayaran yang perlu dibayar oleh pekerja tersebut dan meminta nombor telefon majikan mereka sebelum berpura-pura membuat panggilan meminta kebenaran supaya pekerja itu membayarnya.
Saya dah cakap dengan Encik Ooi, dia suruh bagi duit yang ada dalam petty cashier,” kata Steven.
Rakan Ika yang bekerja di premis itu telah menyerahkan RM300 sebagai wang permulaan tetapi Steven menolak dan menuntut minimum bayaran sebanyak RM1,000 dan selebihnya perlu dibayar kepada pihak pengurusan.
Apabila mereka teragak-agak untuk membayar, Steven lagi sekali berpura-pura menelefon majikan mereka dan menerangkan kononnya Ika perlu memberi wang dan mengambil resit daripadanya. Setelah itu, barulah mereka boleh mengambil surat perjanjian daripada pihak pengurusan dalam masa setengah jam.
Ika dan rakannya tanpa berfikir panjang, terus mempercayai lelaki itu dan menyerahkan RM1,000 kepadanya.
Selepas Steven beredar, barulah Ika mengambil keputusan untuk menelefon majikannya untuk bercakap mengenai hal tersebut. Alangkah terperanjatnya Ika apabila majikannya memberitahu tiada siapa yang menelefonnya sebentar tadi. Alamak!
Panik dengan apa yang berlaku, Ika terus berjumpa dengan pihak pengurusan untuk penjelasan. Pihak pengurusan menjelaskan bahawa mereka akan mengeluarkan resit dan dokumen yang ditaip dan bukan dalam bentuk tulisan tangan.
Menyedari mereka telah ditipu, Ika seterusnya merujuk ke bahagian keselamatan untuk memeriksa kamera CCTV dan terus membuat laporan di Balai Polis Pulau Tikus.
Ika juga turut menjelaskan kejadian ini berlaku dalam sekelip mata.
Menurut komen-komen netizen, lelaki ini memang kerap mencuri wang dengan modus operandi yang sama. Ada juga yang mengatakan Steven telah menggunakan ilmu untuk memukau mangsanya.
Hati-hati semua! Sebelum memberi wang kepada sesiapa, sahkan dulu identiti mereka. Semoga orang ini segera ditangkap polis.