Sejarah tercipta selepas seorang bayi bernama Molly Everette Gibson selamat dilahirkan dengan menggunakan embrio yang telah dibekukan selama lebih 27 tahun lalu.
Menurut laporan Berita Harian, yang memetik New York Times, bayi berusia sebulan yang diberi nama Molly Everette Gibson itu dilahirkan dengat berat 2.7 kilogram (kg).
Embrio Molly dilaporkan telah dibekukan selama lebih 27 tahun sebelum dipindahkan ke rahim ibunya pada 10 Februari lalu.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan kakitangan penyelidikan di Perpustakaan Perubatan Preston Universiti Tennessee, Amerika Syarikat, embrio Molly adalah yang paling lama pernah mereka bekukan.
Dengan kelahiran Molly, bayi itu telah berjaya memecahkan rekod kakaknya yang turut dilahirkan menerusi kaedah sama pada tahun 2017.
“Embrio Molly dan kakaknya, Emma adalah daripada penderma yang sama. Ini sekaligus menjadikan mereka adik-beradik genetik,” kata Pengarah dan Ahli Embriologi Makmal Pusat Perdermaan Embrio Kebangsaan (NECD), Carol Sommerfelt.
Tambah Carol lagi, embrio Emma telah dibekukan selama 24 tahun sebelum dipindahkan ke rahim ibunya.
Kini, Molly dan Emma tinggal bersama ibu bapa mereka, Tina dan Benjamin Gibson di Tennessee.
Sumber: Berita Harian