Seramai tiga orang dilaporkan maut termasuklah seorang pegawai keselamatan selepas dua remaja lelaki bersenjata melepaskan tembakan di Pusat Islam San Diego, California pada hari Isnin dalam satu kejadian yang kini sedang disiasat pihak berkuasa yang mana dianggap sebagai jenayah kebencian.
Ketua Polis San Diego, Scott Wahl mengesahkan bahawa dua penyerang remaja berkenaan melepaskan tembakan di luar masjid dan mengorbankan tiga orang lelaki termasuk seorang pengawal keselamatan sebelum kedua-dua suspek ditemui mati didakwa akibat membunuh diri.
Artikel berkaitan: “Dia azan sebelum waktunya” – Imam Dip*kul Beramai-ramai Gara-gara Tegur Budak Main Mikrofon Masjid
Artikel berkaitan: “Saya tak berhenti lari, saya dengar lebih 50 tembakan” – Saksi Kongsi Detik Cemas Tembakan Rambang Di Masjid Christchurch
Tambah beliau, semua kanak-kanak yang menghadiri sekolah harian di pusat tersebut yang juga masjid terbesar di wilayah berhampiran sempadan Mexico itu, dilaporkan selamat dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 12 tengah hari waktu tempatan atau 7 pagi waktu di Malaysia.
Wahl turut memaklumkan bahawa Biro Siasatan Persekutuan (FBI) turut terlibat untuk bantu siasatan. Katanya, setakat ini, motif kejadian masih belum lagi dikenal pasti.

Insiden tersebut berlaku seminggu sebelum umat Islam menyambut Aidiladha serta musim kemuncak ibadah haji di Makkah, Arab Saudi.
Kata Imam dan pengarah pusat berkenaan, Taha Hassane, ia adalah insiden kali pertama berlaku sepanjang tempoh pusat ibadat itu didirikan.
“Kami tidak pernah mengalami tragedi seperti ini sebelum ini. Ia adalah tindakan yang sangat melampau kerana menyasarkan tempat ibadat.”
Lapor sumber, puluhan anggota penguatkuasa yang dikejarkan ke lokasi kejadian menemui mayat tiga lelaki yang berada di luar bangunan. Dalam pada itu, pihak berkuasa turut memuji tindakan pengawal keselamatan yang terkorban kerana berjaya menghalang insiden tersebut menjadi lebih buruk.
Dalam kejadian itu, polis juga menemui mayat dua remaja yang berusia 17 dan 19 tahun di dalam sebuah kenderaan di tengah jalan dengan kesan tembakan di tubuh mereka.
Pada masa yang sama, semasa polis sedang bertindak balas terhadap insiden masjid tersebut, beberapa das tembakan turut dilepaskan ke arah pekerja landskap di beberapa blok dari lokasi kejadian.

Namun begitu, pekerja tersebut selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Pihak berkuasa juga masih melakukan siasatan jika kedua-dua kes itu mempunyai sebarang kaitan.
Wahl berkata, seramai 50 hingga 100 anggota polis dari seluruh kawasan San Diego dikerahkan ke lokasi dalam tempoh 4 minit selepas menerima panggilan kecemasan berikutan insiden itu.
Rakaman stesen televisyen tempatan turut menunjukkan puluhan kereta peronda berada di atas jambatan lebuh raya berhampiran dengan pusat itu, dengan anggota polis mengacukan raifal ke arah kompleks tersebut.

Dalam pada itu, anggota polis yang berpakaian taktikal lengkap bersenjata turut berada di atas bumbung masjid yang terletak di daerah komersial dan perumahan Clairemont bagi mengawal keadaan.
Bagaimanapun, Wahl mengesahkan bahawa tiada sebarang tembakan dilepaskan oleh pihak berkuasa sepanjang operasi itu.
Pusat Islam di Clairemont merupakan masjid tersebar di San Diego dan menempatkan Bright Horizon Academy sebagai sebuah sekolah yang menyediakan pendidikan Islam.

Biarpun sering kali berlaku keganasan bersenjata di tempat awam di Amerika Syarikat, tahap keselamatan komuniti Islam dan Yahudi di negara tersebut kini dilaporkan berada dalam keadaan semakin meruncing.
Ketegangan itu dikatakan semakin meningkat semenjak tentera Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara terhadap Iran pada 28 Februari lalu yang menceruskan perang berlarutan di rantau Asia Barat.
Sumber: Berita Harian
