Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu bahawa mereka telah menerima puluhan ribu alamat protokol internet (IP) dari pihak berkuasa antarabangsa yang disyaki menghantar kandungan lucah kanak-kanak sejak enam tahun lalu.
Memetik laporan dari Bernama, pihak polis tidak dapat bertindak atas maklumat yang diterima ini ekoran kekurangan tenaga kerja.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) PDRM ACP Siti Kamsiah Hassan, sejak tahun 2017 sehingga Mac tahun ini 93,368 alamat IP telah dikesan terlibat dalam aktiviti tersebut.
Bagaimanapun, ekoran kekurangan tenaga kerja yang terlatih untuk menapis dan meneliti maklumat yang diterima, hanya 103 alamat IP dapat diperiksa dan hanya sebanyak 50 tangkapan berjaya dibuat.
D11 berharap kerajaan dapat memberikan peruntukan seperti yang diumumkan kerajaan pada Bajet 2022 untuk memperbanyakkan tenaga kerja dan kewangan secepat mungkin bagi membolehkan usaha D11 membendung jenayah melibatkan kanak-kanak semakin efektif.”
KPWKM ambil serius isu eksploitasi seksual kanak-kanak
Ekoran ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menegaskan bahawa mereka memandang serius isu eksploitasi seksual kanak-kanak dan akan melaksanakan program advokasi dan kempen kesedaran untuk mendidik ibu bapa tentang ancaman dunia siber.
Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Harun mengatakan perkara ini memerlukan kerjasama dari semua pihak bagi menjamin keselamatan kanak-kanak di dalam negara.
Selain itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) juga akan bekerjasama dengan Keselamatan Siber Malaysia bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu ini dan banyak lagi kolaborasi akan dibuat bagi memberikan persekitaran siber yang selamat untuk kanak-kanak, lapor Bernama.
Rina Haru turut memberitahu bahawa beliau telah pun berjumpa dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak PDRM (D11) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan berbincang mengenai isu ini.
Baca: “Gambar lama” – KPWKM Jawab Dakwaan Foto Viral Rina Harun Bawa Ramai Wartawan Lawat Adik Bella