in

Isu Gambar B*gel Suntingan AI Libatkan 300 Pelajar, KPWKM Sedia Beri Khidmat Kaunseling

Lm Featured Image 900 X 550 Px 2160 X 1080 Px 56

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Gara-gara tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak, lebih 300 pelajar perempuan sekolah menengah di Seremban, Negeri Sembilan didakwa menjadi mangsa penyuntingan gambar bogel menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Lagi mengejutkan, gambar yang mengaibkan itu bukan sahaja disebarkan dalam kalangan pelajar di sekolah, malah turut dijual melalui aplikasi Telegram.


KPWKM Sedia Hulur Bantuan Kaunseling

Sensitif dengan apa yang berlaku, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia untuk menyediakan khidmat kaunseling kepada mangsa yang terkesan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan bahawa beberapa agensi di bawah KPWKM sedia menawarkan perkhidmatan tersebut. 

Antara agensi yang terlibat ialah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN). 

Terbuka Menerima Mangsa Dan Keluarga

Menurut Nancy, walaupun KPWKM belum menjalinkan kerjasama khusus berhubung kes ini, pihak kementerian sedia mengambil tindakan bersesuaian mengikut keperluan. Pihaknya juga sentiasa terbuka menerima kedatangan mangsa mahupun keluarga yang memerlukan sokongan emosi.

“Kita terbuka kepada mereka yang hendak datang kepada kita. Kalau kita hendak mencari mereka, ia agak mengambil masa kerana berdasarkan keadaan gambar AI itu, agak sukar untuk kita mengetahui siapa mereka.

“Kita mahu beritahu terutama kepada keluarga, jika mereka memerlukan kaunseling daripada kementerian, kita ada kaunselor bertauliah.”

Nancy berkata demikian berhubung laporan media mendakwa lebih 300 pelajar perempuan sekolah menengah di Seremban menjadi mangsa penyuntingan gambar bogel menggunakan teknologi AI.

Gambar mengaibkan itu difahamkan bukan sahaja disebarkan dalam kalangan pelajar di sekolah malah dijual menggunakan aplikasi Telegram.

Sumber: Bernama

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.