Premis perniagaan Secangkir Cafe yang terletak di Sungai Karang, Kuantan bakal menamatkan operasinya secara rasmi. Keputusan berat tersebut terpaksa diambil oleh pihak keluarga susulan insiden duka yang menimpa pengasasnya, Allahyarhamah Nur Atiqah Sofiya Mohd. Kazwan, 32, baru-baru ini.
Pihak keluarga menjelaskan bahawa perniagaan berkenaan tidak dapat diteruskan memandangkan arwah merupakan tiang utama dan nadi kepada kafe tersebut.
Artikel berkaitan: Mangsa Nahas LPT1 ‘Owner’ Secangkir Cafe, Gambar Sekeluarga Sambut Merdeka Di Putrajaya Undang Sebak
Artikel berkaitan: Empat Meninggal Dunia Dalam Kemalangan Babitkan 11 Kenderaan Di LPT1
View on Threads
Menerusi perkongsian di Threads, ahli keluarga Allahyarhamah meluahkan rasa hiba atas keputusan sukar yang perlu dilaksanakan itu.
“Sayang seribu kali sayang, tapi terpaksa juga kerana nyawa dan roh di kafe tersebut sudah tiada dan kami juga tiada kepakaran untuk menghasilkan semula kek-kek arwah Sofiya kerana semuanya unik dan berbeza setiap minggu,” jelas kenyataan tersebut.
Bagi memberi peluang terakhir kepada para pelanggan setia, kafe berkenaan dibuka buat kali terakhir pada Jumaat, 4 September bermula jam 3 petang hingga 9 malam sahaja.
“Kami juga ingin mengumumkan esok, Jumaat, 4 September kami akan buka buat kali terakhir dari pukul 3 petang hingga 9 malam sahaja.
Operasi hanya memfokuskan kepada jualan kopi dan kek dengan stok yang sangat terhad,” tulisnya.
Bagi memastikan pembelian berjalan lancar dan adil, setiap pelanggan hanya dibenarkan membeli satu potong kek, manakala jualan kopi pula dihadkan kepada 300 cawan sahaja.
“Kami juga akan lelong segala stok dan perkakasan kedai. Kami akan kemas kini gambar stok yang ada pada hari esok. Insya-Allah hasil duit jualan akan digunakan jika arwah adik kami masih ada hutang dengan sesiapa dan menyelesaikan apa yang tertunggak,” tulisnya lagi.
Pihak keluarga turut menzahirkan rasa terima kasih mendalam atas sokongan ramai sepanjang dua tahun Secangkir Cafe beroperasi.
“Berat, sangat berat keputusan ini tapi kami rasa itulah yang terbaik. Terima kasih kepada semua yang pernah menyokong Secangkir Cafe dari awal dan esok adalah hari terakhir legasi Secangkir. Terima kasih semua.
Harap dapat uar-uarkan kepada orang ramai. Sekali lagi maafkan kami atas keputusan ini,” tulisnya.
Terdahulu, Allahyarhamah Nur Atiqah Sofiya dilaporkan terkorban bersama suaminya, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, serta anak lelaki mereka dalam kemalangan ngeri membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) berhampiran Temerloh.
Sumber: Threads
