Sembilan nyawa berdepan detik cemas manakala empat lagi disahkan terkorban dalam kemalangan ngeri membabitkan 11 buah kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) arah Kuantan, malam tadi.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.44 malam itu melibat sebuah lori tangki, sebuah bas ekspres yang membawa 30 penumpang, serta sembilan buah kereta lain termasuk Proton S70, Honda CRV, Toyota Alphard, Toyota Hilux, Perodua Aruz, dua Perodua Myvi dan dua Proton Saga.
Artikel berkaitan: Beruang Berguling Kesakitan, Dipercayai Kena Langgar Di LPT2
Artikel berkaitan: Tular Foto Solat Di Tepi Lebuh Raya, Ini Respon Pihak Berwajib
Tiga daripada mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian merupakan pemandu dan penumpang kereta Proton S70, diidentifikasi sebagai Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, serta seorang kanak-kanak lelaki.
View this post on Instagram
Manakala seorang lagi mangsa yang terkorban merupakan lelaki dewasa berbangsa Cina yang menaiki kenderaan Honda CRV.
Selain itu, tiga individu dilaporkan mengalami kecederaan. Pemandu lori tangki dan seorang penumpang lelaki dalam Honda CRV cedera akibat tersepit, manakala seorang pemandu Proton Saga mengalami cedera ringan. Puluhan penumpang bas ekspres serta pemandu dan penumpang kenderaan lain dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Kanan Bomba I Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bersama bantuan BBP Temerloh dan BBP Karak digerakkan ke lokasi.
Seramai 21 anggota bomba bersama aset logistik terlibat dalam operasi menyelamat serta mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas,” katanya.
Beliau menambah, kesemua mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut, manakala jenazah mangsa yang terkorban diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan susulan.
Laluan berkenaan mengalami gangguan serta kesesakan teruk hampir empat jam sebelum operasi menyelamat dan pembersihan lokasi tamat sepenuhnya pada jam 2.50 pagi. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Sumber: Astro Awani
