Niat ingin membantu kakak dan anak saudaranya yang terkena renjatan elektrik bertukar jadi satu tragedi apabila gitaris profesional, Wan Radzie Wan Othman yang dikenali sebagai Eddie Malmsteen meninggal dunia dipercayai akibat terkena renjatan elektrik berpunca dari alat pemanas air.
Menurut Berita Harian, turut terbunuh dalam insiden tersebut ialah kakaknya, Wan Zunira dalam kejadian yang berlaku sekitar 11 malam itu (22 Ogos 2020).
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata berdasarkan laporan awal yang diterima, seorang lelaki berusia 30 tahun dan wanita berusia 32 tahun, dijumpai terbaring dalam bilik air dekat rumah Batu 11, Jalan Lama Gombak.
“Ada seorang kanak-kanak lelaki turut dikatakan berada dalam keadaan lemah, di rumah itu.
“Pihak ambulans yang tiba kemudian mengesahkan kematian lelaki dan wanita terbabit yang juga suri rumah dipercayai akibat terkena renjatan elektrik,” katanya semalam.
https://www.facebook.com/Wanrazmie87/posts/3401828073172768
Dalam pada itu, kanak-kanak yang berusia 3 tahun tersebut telah dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati mangsa wanita itu sedang memandikan anaknya, sebelum tiba-tiba terkena renjatan elektrik.
“Adik lelakinya yang kebetulan berada di rumah terdengar jeritan mangsa meminta tolong lalu bergegas ke bilik air untuk membantu, namun turut terkena renjatan elektrik,” jelasnya lagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang, Ahmad Syauqi Abdullah, pula berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 12.01 tengah malam.
Seramai 9 orang anggota menaiki jentera telah dikerahkan ke lokasi kejadian. Sebaik mereka tiba di tempat kejadian, dua mangsa membabitkan seorang lelaki dan wanita telah terkena renjatan elektrik dan seorang kanak-kanak ditemui dalam keadaan yang lemah.
Marilah kita sama-sama sedekahkan Al Fatihah buat mangsa. Semoga keluarga mereka tabah hadapi dugaan ini.