Hidup sebuah keluarga nelayan di Thailand bakal mengalami perubahan besar selepas salah seorang daripada mereka telah menemukan mutiara Melo oren yang sangat rare di sebuah pantai negara berkenaan.
Penemuan menakjubkan itu dikatakan berlaku apabila pasangan adik-beradik, Hatchai Niyomdecha, 37, dan Worachat Niyomdecha, 35, sedang mengutip cangkerang pada pelampung terbiar di wilayah Nakhon Si Thammarat pada 27 Januari lalu, lapor Daily Mail.
Difahamkan, selepas selesai mengutip cangkerang, kedua-dua beradik itu pulang ke rumah dan memberikannya kepada bapa mereka untuk dibersihkan sebelum dijadikan santapan. Ketika itulah, si bapa, Bangmad Noyomdecha, 60 tahun terjumpa mutiara terbabit yang seberat 7.68 gram.
Ada pembeli China tawar 10 juta Baht untuk mutiara itu
Untuk pengetahuan, mutiara Melo dijumpai di dalam cangkerang siput laut bernama Melo Melo. Mutiara ini boleh dijumpai dalam beberapa warna lain seperti coklat. Namun, warna oren adalah warna yang paling mahal.
Kata Hatchai, dia bercadang untuk menjual mutiara itu pada harga yang paling tinggi.
“Duit hasil penjualan mutiara ni bukan saja boleh ubah hidup saya. Keluarga saya juga boleh mempunyai hidup yang lebih baik,” katanya.
Tambah lelaki itu lagi, sudah ada sekurang-kurangnya tiga orang pembeli yang datang kepadanya untuk membeli mutiara terbabit.
Walaupun begitu, Hatchai dilapor sudah menolak dua daripadanya kerana harga yang ditawarkan terlalu rendah.
Hatchai dilapor mungkin akan menerima tawaran seorang pembeli dari China yang dikatakan telah menawarkan 10 juta Baht.
Sumber: Daily Mail