Kawasan Selatan Thailand kembali bergegar apabila berlaku 51 serangan keganasan secara serentak membabitkan Narathiwat, Yala dan Pattani dalam tempoh hampir 2 jam malam tadi.
Serangan yang dipercayai didalangi oleh kumpulan pemisah itu merangkumi pengeboman, pembakaran pejabat dan kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan kedai serbaneka serta pembakaran tayar.
Artikel berkaitan : Malaysia Bangkit Isu Sekatan Udang, Siakap Dan Akses Pasaran Dalam Mesyuarat Dengan Thailand
Artikel berkaitan : Peserta Miss Grand Thailand Jadi Tumpuan Ramai Gara-gara Veneer Gigi Tercabut Ketika Pertandingan
Guna bom buatan sendiri
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, setakat jam 12 tengah malam tadi, terdapat 22 jenis insiden yang direkodkan di Narathiwat, 18 serangan di Yala dan 11 di Pattani.
Menurutnya, serangan itu telah menyebabkan 2 orang awam yang berusia dalam lingkungan 30-an cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terkena bom buatan sendiri (IED) di Daerah Sungai Padi kira-kira pukul 8 hingga 8.45 malam tadi.

“Susulan serangan terancang itu, Pasukan Petugas Khas Narathiwat mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh wilayah itu bermula pukul 10.15 malam hingga 6 pagi tadi.”
“Keputusan itu dibuat bagi memudahkan pasukan penyiasat polis dan tentera menjalankan siasatan rapi. Perintah berkurung peringkat kawasan juga dikenakan bagi menghalang orang ramai mendekati lokasi kejadian.”
Katanya lagi, dalam 22 insiden di Narathiwat itu, 5 berlaku di Rangae, Chanae (4), Bacho (3), Tak Bai (2) manakala masing-masing satu di Si Sakhon, Waeng, Mueang Narathiwat, Cho Airong, Sungai Golok, Yingo, Rueso dan Sungai Padi.
Di Yala pula, sebanyak 9 insiden berlaku di Thanto, 7 serangan di Bannang Sata dan 2 di Raman.
“Daripada 11 insiden di Pattani, masing-masing tiga berlaku di Yarang dan Nong Chik selain dua di Yaring manakala masing-masing satu di Saiburi, Thung Yang Daeng dan Khok Po.”
“Pihak berkuasa sedang menyiasat dan menilai keadaan di setiap lokasi insiden yang telah dikepung dan anggota pasukan keselamatan sedang mengumpul maklumat serta bukti berkaitan untuk prosiding undang-undang.”

Meskipun kesemua kejadian itu tidak melibatkan kawasan tumpuan pelancong, pihak berkuasa mengarahkan stesen minyak, kedai serbaneka dan premis berisiko tinggi di dalam atau sekitar bandar ditutup serta-merta.
Katanya, amaran tahap tinggi turut dikeluarkan kepada semua anggota keselamatan, manakala orang ramai diminta berhati-hati.
Sumber : Kosmo!
