Rata-rata daripada kita mesti teringin nak tengok kanggaru kan? Mana taknya, haiwan tersebut boleh dikatakan unik dan comel lebih-lebih lagi apabila melihat anaknya yang ada di dalam kantung tu. Terus rasa macam nak fly ke Australia juga esok!
Namun, korang tahu tak dalam kecomelan yang ada pada haiwan unik ini, sebenarnya mereka ini boleh bertindak agresif kepada manusia sekiranya kita tidak mengambil langkah berhati-hati.
Seperti yang berlaku baru-baru ini, satu kes yang boleh dikatakan mengejutkan untuk didengar melibatkan seorang lelaki dengan seekor kanggaru di sebuah kawasan terpencil di Australia.
Lelaki tewas diserang kanggaru peliharaan sendiri, catat kes pertama sejak 86 tahun lalu
Seorang lelaki yang disyaki memelihara kanggaru liar sebagai haiwan peliharaan itu telah diserang oleh haiwan itu di Western Australia, kata polis pada Selasa. Ia dilaporkan serangan maut pertama oleh kanggaru di Australia sejak 1936.
Menurut BBC, difahamkan salah seorang ahli keluarganya menemui lelaki berusia 77 tahun itu dengan keadaan yang agak parah di kediaman rumahnya di pekan Redmond, kira-kira 400 kilometer dari ibu negeri Australia Barat iaitu Perth.
Laporan juga mempercayai bahawa dia telah diserang pada awal hari oleh kanggaru itu, yang ditembak mati oleh polis kerana ia menghalang paramedik daripada mendekati lelaki yang cedera itu, kata polis.
“Kanggaru itu menimbulkan ancaman berterusan kepada petugas kecemasan.”
Lelaki itu dilaporkan maut di tempat kejadian dan pihak polis sedang menyediakan laporan untuk mengenalpasti punca kematian lelaki tersebut secepat mungkin.
Pihak polis juga percaya bahawa lelaki tersebut telah membela kanggaru liar sebagai haiwan peliharaan tanpa kebenaran pihak berkuasa. Untuk pengetahuan korang, sebenarnya kalau nak membela kanggaru di sana perlu mendapatkan kebenaran atau permit terlebih dahulu.
Serangan dipercayai daripada kanggaru berbaka kelabu Western
Kanggaru kelabu Barat adalah spesies yang mudah dijumpai di barat daya Australia. Mereka boleh mempunyai berat sehingga 54 kilogram dan berdiri setinggi 1.3 meter.
Kanggaru jantan sebenarnya boleh menjadi agresif dan melawan orang dengan teknik yang sama seperti yang mereka gunakan antara satu sama lain.
Mereka menggunakan anggotanya untuk bergelut dengan lawan mereka, menggunakan ekor berotot mereka, kemudian menyerang dengan kedua-dua kaki belakang mereka yang kuat kepada mangsa atau pihak lawan.
Pernah terjadi kes diserang pada 1936
Pada tahun 1936, William Cruickshank, 38, meninggal dunia di sebuah hospital di Hillston di negeri New South Wales di pantai timur Australia beberapa bulan selepas dia diserang oleh seekor kanggaru.
Cruickshank mengalami kecederaan teruk di kepala termasuk patah rahang ketika dia cuba menyelamatkan dua anjingnya daripada seekor kanggaru besar, lapor akhbar The Sydney Morning Herald ketika itu.
Jangan disangka muka comel tak ganas… Yang berniat nak ke Australia untuk tengok haiwan ini diingatkan supaya berhati-hati ye!
Baca: Pelancong Kena Denda RM8,000 Hanya Kerana Membawa McDonalds Ke Australia