Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia (ANM) akan menganjurkan Program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: “Arkitek Pembangunan Negara Bangsa” pada 8 September ini.
Program berkenaan akan berlangsung di Memorial Tun Abdul Razak, Jalan Perdana, Kuala Lumpur dan akan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri.
Majlis Mengenang Negarawan merupakan usaha berterusan Kementerian yang dilaksanakan setiap tahun sebagai wadah untuk mengangkat dan menghayati legasi serta sumbangan besar kepada negara.
Penganjuran majlis ini turut menjadi salah satu pengisian Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.

Artikel berkaitan: 11 Inisiatif Kementerian Perpaduan Negara Sempena Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026
Artikel berkaitan: Kementerian Perpaduan Perkenalkan 5 Kluster Bagi Memacu Agenda Negara Bangsa 2026
Menurut KPN, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen Kementerian untuk menonjolkan peranan, sumbangan dan jasa Tun Abdul Razak sebagai negarawan yang telah meletakkan asas kukuh pembangunan negara, perpaduan rakyat dan pembinaan negara bangsa.
YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara berkata,
Sejarah bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk dihayati dan dijadikan pedoman.
“Legasi para negarawan terdahulu bukan sekadar tinggalan masa lalu, tetapi merupakan living legacy yang terus hidup melalui nilai, pemikiran dan perjuangan yang diwariskan kepada kita.
“Generasi muda perlu mengenali sejarah dan memahami legasi ini agar mereka bukan sahaja tahu dari mana kita bermula, tetapi juga jelas ke mana kita harus melangkah sebagai sebuah negara bangsa,” katanya.
Pelbagai pengisian telah diatur sempena program berkenaan, antaranya sesi pengkisahan oleh anakanda Tun Abdul Razak, YBhg. Dato’ Sri Mohamed Nizam Tun Abdul Razak.
Turut diadakan ialah Sesi Bicara Negarawan yang melibatkan tokoh-tokoh terkemuka negara iaitu YABhg. Tun Musa Hitam, YM Tengku Razaleigh Hamzah dan YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak.
Program tersebut turut merangkumi lawatan ke Memorial Tun Razak.
Kementerian Perpaduan Negara turut menjemput orang ramai untuk memeriahkan program berkenaan.
Menurut Kementerian, kehadiran dan penyertaan masyarakat daripada pelbagai latar belakang berupaya menyemarakkan semangat kebersamaan, memperkukuh hubungan antara rakyat serta menyuburkan nilai perpaduan dan keharmonian.
Program ini juga diharap dapat menjadi ruang untuk masyarakat bersama-sama mengenali sejarah, menghayati perjuangan dan menelusuri legasi negarawan yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara bangsa.
Sumber: Kementerian Perpaduan Negara
