Kalau cakap pasal perpaduan, memang macam-macam program dan kempen yang kita nampak dianjurkan setiap tahun. Tapi pernah tak korang terfikir, ke mana sebenarnya arah tuju semua program ini untuk jangka masa panjang?
Perkara itu jugalah yang diakui sendiri oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, yang memaklumkan kementeriannya kini sedang merangka satu pelan tindakan pembinaan negara bangsa menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Menurut beliau, pelan tindakan ini dirangka sebagai hala tuju jangka panjang bagi memperkukuh perpaduan serta membentuk identiti bersama dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Sepanjang dua, tiga tahun kita di Kementerian Perpaduan ini, kita belum melihat arah tuju yang sebenar. Banyak program kita buat tetapi kita tidak sampai kepada persoalan ke mana hala tuju kita dan apa seterusnya.”
Jelas Aaron, sepanjang dua hingga tiga tahun berada di Kementerian Perpaduan Negara, beliau melihat perlunya ada satu garis panduan dan arah tuju yang lebih jelas berbanding sekadar menganjurkan pelbagai program semata-mata.
Bukan Kerja Dua Tiga Tahun, Libatkan Pelbagai Kementerian

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha pembinaan negara bangsa bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dalam masa singkat, sebaliknya ia merupakan proses jangka panjang demi kestabilan dan ekonomi negara.
“Ini proses jangka panjang, bukan dalam tempoh dua atau tiga tahun… kita mahu rakyat dapat bersatu untuk mewujudkan keharmonian, keadilan dan kestabilan yang akhirnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.”
Bagi memastikan agenda ini berjaya, pelaksanaannya akan menggunakan pendekatan keseluruhan kerajaan dan seluruh masyarakat (whole-of-government and whole-of-society).
Ia turut melibatkan kerjasama pelbagai kementerian lain termasuk, Kementerian Pendidikan,Kementerian Pendidikan Tinggi,Kementerian Komunikasi,Kementerian Kewangan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Integrasi Bukannya Asimilasi
Mengulas mengenai pendekatan perpaduan di negara ini, Aaron turut menjelaskan bahawa Malaysia mengamalkan konsep integrasi dan bukannya asimilasi kerana pendekatan tersebut mengiktiraf kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya yang ada.
“Konsep kita sekarang ini ialah unity in diversity, perpaduan dalam kepelbagaian… kita bukan nak tinggalkan atau buangkan budaya orang lain atau agama sebaliknya kita menerima dan memahami kepelbagaian itu.”
Sumber: BERNAMA
