Ketika zaman persekolahan, antara perkara yang paling ditakuti ibu bapa ialah apabila anak-anak mereka mengalami kecederaan atau kemalangan ketika berada di sekolah.
Seorang murid tahun 2 di sebuah sekolah di Lumut, Perak patah jari tangan selepas terkena kipas yang terjatuh dari siling bilik darjah.
Insiden tersebut berlaku pada hari Selasa lepas dan difahamkan ia berlaku kira-kira jam 10 pagi, kemalangan tersebut turut mengakibatkan tiga murid perempuan yang lain kesemuanya berusia 8 tahun cedera ringan.
Menurut laporan Astro AWANI, bapa kepada pelajar tahun 2 itu memberitahu selain patah jari tangan kirinya, pelajar tersebut juga mengalami kecederaan di bahagian dada akibat terkena kipas yang terjatuh itu.
“Secara kebetulan, meja anak saya betul-betul di bawah kipas itu, jadi kecederaan dialaminya agak serius berbanding yang lain.
Apabila dibawa mendapatkan rawatan ke hospital, doktor maklumkan tulang jari kiri tangan anak saya telah patah dan terpaksa disimen.” katanya.
Walaupun anaknya itu telah diberikan cuti selama 14 hari, bapa tersebut agak terkilan dengan pihak sekolah kerana tidak mempercepatkan prosedur kecemasan anaknya serta pelajar lain, sebaliknya mereka menunggu ibu bapa untuk membawa anak-anak yang cedera ke hospital dengan sendiri.
“Kes sebegini sepatutnya boleh dikira kecemasan tetapi pihak pengurusan sekolah memberi alasan mengikut peraturan ditetapkan Jabatan Pendidikan.
Ketika isteri saya tiba di sekolah, tangan anak saya ketika itu sudah bertukar warna dan sepatutnya perlukan rawatan segera tetapi mereka masih lagi memintanya mengisi buku log kebenaran keluar sekolah dan sebagainya.
“Saya terima kemalangan ini berlaku kerana ia bukanlah disengajakan, cuma terkilan dengan tindakan pihak sekolah yang melambatkan proses rawatan ke atas anak saya dan mangsa lain” katanya lagi.
Bapa kepada mangsa itu juga mendapati keadaan uzur kipas di bilik darjah itu dan menyatakan ia sepatutnya tidak digunakan lagi, malah dia juga telah melaporkan perkara ini kepada pihak polis.
Baca: “Siap bawak kipas” – Wanita Luah Rasa Sedih, Kongsi Gambar Hospital Kelihatan ‘Daif’