Semua orang mungkin sudah sedia maklum bahawa pelakon cantik, Fathia Latiff ini merupakan penyokong tegar Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Fathia memang tidak pernah putus menyatakan hal ini kepada orang ramai melalui akaun media sosialnya.
Sebelum ini, menerusi akaun Twitter, Fathia pernah memberitahu bahawa dia pernah menemu bual Tun M. Malah, dia juga telah menyuarakan keinginan untuk menemu bual perdana menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohammad Najib pula.
Baru-baru ini, Fathia Latiff telah memuat naik video Tun M di akaun Instagram miliknya beserta caption yang panjang lebar memberi kecaman kepada golongan yang tidak menghargai jasa Tun M.
Menurut laporan Sinar Harian, Fathia menyifatkan mana-mana pihak yang melupakan jasa Tun M adalah ibarat kacang lupakan kulit.
Dia menulis, mengatakan orang akan menyanjung bila kita berada di atas tetapi apabila sudah tua atau jatuh, orang mula melabelkan sebagai tidak relevan, nyanyuk, gila dan tidak berakal.
Bila kita diatas, orang sanjung kita macam nak rak. Itu perkara biasa. Tapi, bila kita sudah tua, atau jatuh, orang kata kita ni dah tak relevan, macam-macam mereka kata, kata kita ni nyanyok, kata kita gila, tiada akal, itulah dinamakan kacang lupakan kulit!”
Selain itu, dia turut mengatakan kekecewaan kerana segala jasa yang telah dilakukan oleh Tun M selama ini kepada Malaysia telah dilupakan begitu sahaja sehingga sanggup mengeluarkan Tun M daripada sejarah negara seakan-akan tidak memikirkan perasaan bekas perdana menteri Malaysia ke-4 itu.
Bukan itu sahaja, aktres berusia 30 tahun itu turut menasihati orang ramai supaya tidak mempertikaikan betapa hebatnya Tun M dan sentiasa mengingati serta bersyukur kerana adanya beliau yang pernah mengangkat nama negara pada suatu ketika dulu.
Seharusnya kita kena ingat dan bersyukur, orang yang hebat ini, pada satu ketika dulu, telah pernah berjaya menjulang darjat negara kita setinggi-tingginya dan tak perlulah kita pertikaikan lagi.”
Fathia mengakhiri caption tersebut dengan meminta orang ramai supaya turut bersyukur kerana Tun M masih ada dan masih bertahan dalam mempertahankan orang lain, bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk semua.
Nampaknya Fathia tidak serik dalam melontarkan buah fikirannya walaupun selalu dikecam netizen.
Baca: Tak Serik Dikecam, Fathia Latiff Nak Interview Perdana Menteri Malaysia Pula!