Semalam, kita semua dikejutkan dengan berita seorang lelaki mengamuk di Kilang B.Braun di Balik Pulau.
Insiden ini menyebabkan seorang wanita yang merupakan penyelia kilang tersebut mati akibat ditetak dengan parang manakala seorang lagi mangsa, seorang pengurus keselamatan dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas dia ditetak ketika cuba menolong penyelia wanita tersebut dari diserang.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.45 petang ini turut berakhir dengan tragedi apabila lelaki berusia 25 tahun tersebut turut maut kerana mengugut untuk mencederakan pihak polis hingga mereka terpaksa melepaskan tembakan mempertahankan diri.
Macam yang korang tahu, banyak spekulasi yang kita dengar tentang “kisah sebenar” disebalik insiden ini. Ada juga yang mengaitkan insiden ini dengan sentimen agama.
Ekoran dari itu, Awani melaporkan yang Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran mengingatkan orang ramai untuk tak membuat sebarang spekulasi kerana ketika ini pihak polis sedang menjalankan siasatan.
Menurut Narenasagaran, pihaknya telah pun mengambil keterangan dari keluarga lelaki ini, teman serumahnya serta rakan sekerjanya.
“Ada pelbagai andaian serta spekulasi mengenai kejadian itu. Jadi saya minta orang ramai berhenti sebarkan maklumat tidak benar atau tidak sahih, yang tidak mendapat pengesahan daripada polis kerana ia akan mengganggu siasatan.”
Admin pun tak nak sentuh apa-apa isu yang boleh menimbulkan sensitiviti perkauman dan agama. So kita sama-samalah tunggu hasil siasatan dari pihak polis untuk ketahui kisah sebenar.