Berikutan kenyataan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkenaan dengan individu yang sanggup jual buah pinggang demi sara kehidupan, seorang doktor yang juga pakar dalam bidang pendermaan organ kesal dengan dakwaannya itu.
Menurut Dr Jabbar Ismail, ada keluarga jadi keberatan untuk derma organ orang tersayang yang sudah meninggal dunia kerana mereka bimbang doktor hanya bekerja dengan sindiket penjualan organ.
Kenyataan yang menghalang usaha doktor bantu pesakit ESRF

“Terdapat stigma sebenar (untuk menderma organ). Mereka sudah banyak menderita kehilangan orang tersayang dan terpaksa berdepan dengan kami bertanyakan soalan seperti ini.”
“Sebab itu saya katakan apabila ahli parlimen yang dipilih membuat kenyataan kebudak-budakan dan tidak bertanggungjawab seperti ini, ia akan menghalang usaha kami untuk membantu lebih 30,000 pesakit ESRF yang menjalani hemodialisis.”
Penyakit ESRF adalah satu penyakit kegagalan buah pinggang peringkat akhir, ia tidak boleh disembuhkan dengan hemodialisis dan hanya pemindahan organ untuk menggantikan buah pinggang yang rosak membolehkan pesakit menjalani kehidupan yang agak normal.
Jabbar menceritakan pengalamannya semasa berkhidmat sebagai penyelaras pendermaan organ di Hospital Queen Elizabeth II di Kota Kinabalu Sabah dari 2019 hingga 2020.

Seperti kebanyakan orang lain, Jabbar tidak menafikan menjual organ adalah haram. Dia juga berkata pemindahan haram akan menjadi sangat sukar untuk dijalankan, lapor Malaysiakini.
“Amat sukar untuk melakukan pemindahan buah pinggang jika anda terpaksa melakukannya secara rahsia kerana perolehan dan pemindahan buah pinggang memerlukan pasukan yang besar.
“Perolehan, pengangkutan, mencegah kecederaan iskemia (masa iskemia) semasa pengangkutan,” katanya.
Melakukannya di hospital juga tidak boleh, katanya, kerana organ itu perlu berdaftar dengan Pusat Sumber Transplan Nasional. Bahkan penerima organ juga memerlukan pemeriksaan imunologi pemindahan, serta rawatan susulan sepanjang hayat dengan pakar nefrologi selepas pembedahan.
“Oleh itu, ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, ia juga mustahil untuk menjual organ di Malaysia. Adalah sangat tidak bertanggungjawab bagi ahli Parlimen yang dipilih untuk membuat kenyataan seperti itu,” katanya.
Sebelum ini, kenyataan berhubung dengan penjualan buah pinggang itu dikeluarkan oleh Wan Fayhsal itu berikutan dengan gesaan untuk satu lagi pusingan pengeluaran KWSP.
Bagaimanapun, kerajaan menegaskan bahawa ia membahayakan simpanan persaraan mereka yang hampir mencapai umur persaraan tetapi tidak selamat dari segi kewangan.
Baca : Wan Ahmad Fayhsal Dakwa Ada Yang Sanggup Jual Buah Pinggang Sebab Tak Dapat Keluarkan KWSP

