in

Hanya Ada Tempoh 6 Bulan Untuk Hidup, Lelaki Ini Guna Sisa Hidupnya Untuk Merantau Cari Rumah Buat Anak Autistik

Ft Warga Emas

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Seorang bapa dari Korea Selatan yang digelar sebagai “Peter Pan Dad” kerana perjuangannya mencari tempat tinggal yang sesuai untuk anak lelakinya selepas dia meninggal dunia, dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu lalu.

Menurut sumber, warga emas 64 tahun yang dikenali sebagai Jeon Gyeong-cheol, sebelum ini disahkan menghidap kanser hati tahap akhir dan telah bertarung dengan penyakit tersebut sejak tahun lalu.


Artikel berkaitan : Shila Amzah Kongsi Perkembangan Seth Uwais Sempena Hari Autisme, Bangga Anak Kini Makin Bijak

Artikel berkaitan : Kanak-kanak Autisme Hilang Di Baling, Operasi Pencarian Hari Kedua Diteruskan

Lebih 20 tahun jaga anak seorang diri

Berita pemergiannya itu diumumkan oleh Ketua Forum Pakar Sokongan Kecacatan Perkembangan, Jeong Yu-jin menerusi media sosial pada Ahad lepas.

Menurutnya, majlis pengebumian Jeon akan dijalankan tanpa upacara penghormatan rasmi mengikut permintaan Jeon Gyeong-cheol.

“Beliau kini berada di hospital dan tiada dewan penghormatan khas akan disediakan. Kami merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya.”

Screenshot 2026 09 08 122025

Jeon telah menghabiskan masa lebih dua dekad sebagai penjaga tunggal kepada anak lelakinya, yang kini berusia 27 tahun dan menghidap autisme di mana tahap perkembangan anaknya dikatakan sama taraf dengan kanak-kanak yang berusia sekitar dua hingga tiga tahun.

Namun, segala-galanya berubah apabila Jeon menerima diagnosis kanser hati tahap akhir pada April tahun lalu.

Menyedari masanya mungkin tidak panjang, perkara paling merisaukannya itu bukanlah tentang dirinya, tetapi siapa yang akan menjaga anaknya selepas dia tiada.

Jeon kemudiannya mengembara ke seluruh Korea Selatan dan menghubungi hampir 1,000 pusat penjagaan, berharap dapat menemukan sebuah tempat yang mampu menerima dan menjaga anaknya. Malangnya, tidak banyak fasiliti yang sanggup atau mampu terima dengan keadaan anaknya itu.

Kisahnya tular dan menyentuh hati ramai

Screenshot 2026 09 08 122152

Jeon kemudian mula berkongsi perjalanan dan kesusahannya menerusi satu platform penerbitan yang dikenali sebagai Brunch.

Nukilan kisahnya itu mendapat perhatian ramai pembaca dan akhirnya kisahnya itu tular selepas dia muncul dalam beberapa rancangan televisyen seperti MBC “True Story Expedition” dan tvN “You Quiz on the Block” di negara tersebut.

Jun lalu, Jeon turut mengumpulkan kesemua coretannya di Brunch ke dalam bentuk esei yang  bertajuk “Annyeong, Peter Pan”.

Esei tersebut berkisar tentang kisah perjuangan seorang bapa yang hanya mahu memastikan anaknya terus mempunyai tempat untuk pulang selepas dia tiada itu dan kisahnya itu ternyata telah menyentuh hati orang ramai.

Pembaca yang tersentuh dengan kisah Jeon kemudiannya berpakat untuk memberikan sumbangan dan Jeon berjaya mengumpulkan dana sumbangan sekitar 80 juta won (RM 238,625.36).

Berkat sokongan moral yang semakin meningkat di Korea Selatan itu, Jeon akhirnya berjaya membantu anaknya berpindah ke sebuah perkampungan komuniti untuk individu yang mempunyai kecacatan perkembangan tahap serius seperti anaknya.

“Saya mahu dia lupakan ayahnya dan hidup bahagia”

Screenshot 2026 09 08 122553

Dalam penampilannya di “You Quiz on the Block” bulan lalu, Jeon pernah berkongsi satu perkara yang cukup memilukan mengenai harapannya untuk anaknya selepas dia meninggal dunia.

“Saya mahu memberitahunya supaya melupakan ayahnya dan hidup dengan bahagia. Tetapi saya tidak mahu dia melupakan saya sepenuhnya.”

Jeon berharap anaknya masih akan mengingatinya, walaupun hanya sebagai satu kenangan kecil.

“Saya harap dia mengingati saya dengan sedikit rasa rindu, sebagai seorang lelaki tua yang pernah memandangnya dengan penuh kehangatan.”

Mahu perjuang nasib keluarga lain

Selain memastikan masa depan anaknya terjamin, Jeon turut menggunakan pengalaman yang dilaluinya itu untuk membantu keluarga lain yang senasib dengannya.

Jeon telah berusaha menubuhkan sebuah yayasan kebajikan untuk golongan dewasa dengan kecacatan berkaitan autisme yang teruk, sama seperti anaknya.

Pada 26 Ogos lalu, tidak lama sebelum pemergiannya, Jeon mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa persediaan bagi merealisasikan yayasan tersebut.

Walaupun Jeon kini sudah tiada, ahli jawatankuasa yang telah dibentuk dijangka akan meneruskan perjuangannya dan meneruskan perbincangan bagi merealisasikan penubuhan yayasan berkenaan.

Perjuangan Jeon mungkin bermula kerana mahu mencari tempat untuk seorang anak yang ditinggalkannya, tetapi kisahnya itu telah berjaya membuka mata orang ramai tentang kebimbangan ibu bapa terhadap masa depan anak berkeperluan khas apabila mereka sudah tiada nanti.

Sumber : INQUIRER.NET

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.