in

Malaysia Catat Penurunan Kelahiran Bayi, Kadar Kesuburan Kini Cuma 1.5 Anak Seorang Wanita

Kadar Kelahiran Turun

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Malaysia merekodkan penurunan jumlah kelahiran hidup pada 2025 apabila hanya 396,175 bayi dilahirkan, berbanding 414,918 kelahiran pada tahun sebelumnya.

Menurut laporan Perangkaan Penting, Malaysia, 2026 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 18,743 kelahiran atau 4.5 peratus dalam tempoh setahun.


Penurunan ini turut menyaksikan kadar kesuburan negara terus merosot, sekali gus memperlihatkan perubahan dalam corak kelahiran di Malaysia.

Artikel berkaitan: 400K Belia Kat Malaysia Dilaporkan Masih Menganggur, Sampai Ada Graduan Terpaksa Kerja ‘Underqualified’

Artikel berkaitan: “Durian atau Nanas?” – Rupanya Malaysia Masih Belum Ada Buah Kebangsaan?

Kadar kesuburan turun kepada 1.5 anak

Berdasarkan laporan DOSM, kadar kesuburan jumlah (TFR) Malaysia menurun daripada 1.6 anak pada 2024 kepada 1.5 anak bagi setiap wanita berumur 15 hingga 49 tahun pada 2025.

TFR merupakan ukuran anggaran purata bilangan anak yang akan dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang tempoh usia suburnya, berdasarkan kadar kesuburan mengikut umur pada tahun berkenaan.

Peaceful Newborn In Cozy Neutral Nest

Dalam kalangan kumpulan etnik utama, wanita Melayu merekodkan kadar kesuburan tertinggi dengan 1.9 anak, diikuti Bumiputera lain sebanyak 1.5 anak dan India sebanyak 1.1 anak.

Sementara itu, kadar kesuburan wanita Cina mencatatkan angka terendah iaitu 0.7 anak, berbanding 0.9 anak pada 2024.

Semua negeri catat penurunan kadar kelahiran

Penurunan kadar kelahiran turut direkodkan di semua negeri pada 2025 berbanding tahun sebelumnya.

Terengganu mencatatkan kadar kesuburan tertinggi dengan 2.5 anak bagi setiap wanita, diikuti Kelantan sebanyak 2.3 anak dan Pahang sebanyak 1.8 anak.

Sebaliknya, Pulau Pinang merekodkan kadar kesuburan terendah dengan 1.1 anak, menurun daripada 1.2 anak pada 2024.

Bagi kadar kelahiran kasar, Terengganu mencatatkan angka tertinggi dengan 18.7 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk, manakala Pulau Pinang merekodkan angka terendah iaitu 9.3 kelahiran.

Images 2

Bilangan kematian meningkat? 

Dalam pada itu, bilangan kematian dilaporkan meningkat kepada 0.4 peratus daripada 198,992 kematian pada 2024 kepada 199,807 kematian pada tahun sebelumnya.

“Kadar kematian kasar (CDR) kekal tidak berubah pada 5.8 kematian bagi setiap 1,000 penduduk pada 2025. Etnik India merekodkan CDR tertinggi dengan 8.2 kematian, manakala Bumiputera lain merekodkan CDR terendah dengan 5.7 kematian pada 2025.

“Selain itu, CDR bagi etnik Cina menurun daripada 7.6 pada 2024 kepada 7.5 pada 2025,” menurut kenyataan itu.

Menurut DOSM, Perak direkodkan mempunyai kadar kematian kasar tertinggi dengan 8.2 kematian bagi setiap 1,000 penduduk, manakala Putrajaya pula mencatatkan kadar kematian terendah sebanyak 2.6 kematian.

Sumber: Astro AWANI

Sumber: Kosmo!

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.