Memang sudah menjadi lumrah manusia adanya perasaan cemburu. Apa yang membezakan kita adalah bagaimana kita mengawal perasaan itu supaya tidak melakukan perkara-perkara di luar jangkaan.
Seperti seorang gadis warga tempatan berusia 21 tahun ini yang ‘hilang akal’ dek kerana perasaan cemburu yang menguasai akal fikirannya.
Difahamkan gadis yang berasal dari Manong, Perak itu mengamuk dan mengugut untuk membunuh diri sebanyak dua kali, kelmarin.
Ketika kejadian gadis itu bergayut pada tiang besi dan cuba terjun dari jejantas setinggi 3 meter berhampiran Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Manjung, Perak kira-kira jam 8.42 malam.
Pada pagi hari yang sama gadis berkenaan dikatakan mengugut untuk berenang ke tengah laut di Pantai Perkelahan Awam Teluk Batik, Lumut kira-kira jam 11.33 pagi.
Menurut saksi yang juga rakannya, gadis berkenaan mempunyai masalah peribadi dan berada dalam keadaan tertekan menyebabkannya membuat keputusan untuk bertindak sedemikian.
“Teman lelaki kemudian datang memberitahu seorang pemilik bot mengenai teman wanitanya sebelum dibawa ke tengah laut untuk memujuk gadis itu,” katanya.
Rupa-rupanya, gadis itu mahu membunuh diri hanya kerana cemburu melihat teman lelaki berbual dengan perempuan lain. Aduhai dik, ceteknya akal…

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung Ismadi Darusman, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.43 malam sebelum bergegas ke lokasi membawa jentera bersama dengan Unit Penyelamat dan Paramedik (EMRS).
“Kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memujuk kerana gadis itu bertindak agresif ketika cuba diselamatkan. Seorang anggota wanita sempat memegang tangan mangsa dan membawanya turun.” katanya.
Meskipun tidak cedera, gadis itu kemudian dihantar ke hospital kerana berada dalam keadaan lemah selepas operasi tamat pada jam 9 malam.
Bahaya betul bila terlalu cemburu ni…