Wuhan satu ketika dahulu sunyi dan lengang umpama ‘bandar hantu’ selepas lebih 11 juta penduduk bandar itu ‘dikurung’.
Langkah itu dibuat bagi mengelakkan virus COVID-19 yang dikesan bermula di sana daripada merebak, namun ia telah pun menular dan meletakkan seluruh dunia kini dalam krisis kesihatan.
Dan ketika negara-negara lain masih lagi bergelut dengan pandemik ini, penduduk di Wuhan sebaliknya sudah boleh keluar berparti sakan.
Ogos lalu, Lobak Merah pernah menyiarkan artikel mengenai pesta air di Wuhan yang dihadiri ramai pengunjung. Dan yang terkini, ribuan pengunjung dilapor memenuhi sebuah taman tema bagi meraikan pesta Halloween pada malam Khamis.
Daily Mail dalam artikelnya turut menyiarkan beberapa keping gambar kemeriahan sambutan malam hantu itu yang diadakan di taman tema Happy Valley Wuhan.
Apa yang menarik perhatian adalah hampir tiada langsung penjarakan sosial dipraktikkan oleh pengunjung yang bersesak-sesak, dengan segelintir daripada mereka juga dilihat tidak memakai topeng pelitup muka seolah-olah tidak risau dengan ancaman jangkitan COVID-19.
Secara tradisinya, Halloween tidak diraikan di China namun ia mula mendapat sambutan sejak dua dekad lalu. Dan difahamkan pengunjung tempatan juga sudah mula kembali ke Wuhan sejak beberapa bulan lepas, sekali gus menghidupkan kembali industri pelancongan bandar di bandar itu.
Baca: Tempat Asal Covid-19 Di Wuhan, Dibanjiri 18 Juta Pelancong Sempena Cuti ‘Golden Week’ Di China