Ibu bapa mana yang tak sedih apabila anak yang mereka sayangi maut di malam perayaan Deepavali? Itulah yang berlaku kepada keluarga ini apabila anak lelaki mereka dilaporkan maut akibat tertusuk pisau di Taman Chempaka, Kampung Koh, Setiawan, Perak.
Menurut Harian Metro, kejadian yang berlaku pada jam 10.20 malam itu, mangsa, J. Adithiyan, 7 tahun dilaporkan tertusuk pisau di dadanya ketika berada di rumah ibu saudaranya.
Ketika kejadian berlaku, mangsa dikatakan berlari masuk ke dalam rumah dan secara tidak sengaja terlanggar dengan sepupunya berusia 11 tahun yang sedang memegang pisau dan tertusuk pisau tersebut di dadanya. Aduhai…
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Seri Manjung, namun sejurus itu disahkan meninggal dunia.
Tak sempat makan kari kambing
Menurut bapa saudara mangsa, anak saudaranya itu tidak sempat menikmati kari kambing yang dimasak mereka sekeluarga untuk jamuan Deepavali keesokan harinya.
“Dia datang kepada isteri saya dan meminta untuk makan kari kambing yang sudah siap dimasak,” kata Mathialagan, 43.
Ketika kejadian berlaku, mereka sekeluarga yang tinggal bersebelahan rumah sememangnya sedang sibuk membuat persiapan perayaan.
Dia (Adithiyan) memang begitu teruja dan tidak sabar hendak bermain bunga api tetapi saya memberitahu supaya menunggu sehingga jam 12 malam.
“Malam itu juga dia beritahu teringin nak makan kari kambing yang sudah siap dimasak, tetapi isteri memintanya menunggu sehingga esok, tetapi dua-duanya dia tidak sempat..,” katanya sebak.
Tambahnya lagi, mangsa yang merupakan anak bongsu kepada tiga beradik itu memang rapat dengan mereka dan sangat aktif serta manja.
“Dia memang sangat rapat dengan kami, dia juga memanggil saya sebagai ‘appa’ dan isteri ‘amma’. Saya sempat mewarnakan rambutnya sempena merayakan Deepavali ini,” katanya.
Menurut Mathialagan lagi, ahli keluarga yang menyaksikan kejadian pada awal tidak perasan pisau tertusuk pada dada Adithiyan dan semuanya dalam keadaan panik apabila melihat banyak darah yang mengalir.
Katanya, mereka selepas itu berkejar ke Hospital Seri Manjung sebelum anak saudaranya itu disahkan sudah meninggal dunia.
Sedihnya… tak sangka kegembiraan malam raya boleh bertukar jadi tragedi sedih macam ni.