in

Dari Imigresen Hingga Elaun RELA: Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Menerusi Peruntukan RM22 Bilion KDN

Lm Featured Image 900 X 550 Px 2160 X 1080 Px 43

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Bila sebut tentang Belanjawan 2027, mesti ramai antara kita yang nak tahu apa manfaatnya kepada rakyat, kan?

Daripada bantuan kewangan untuk meringankan beban kehidupan seharian hinggalah usaha memperkukuh keselamatan negara, Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membawa pelbagai inisiatif yang turut melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).


Menerusi kenyataan yang dikongsikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, beliau menyifatkan belanjawan kali ini sebagai kesinambungan usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan negara berjalan seiring dengan kebajikan rakyat.

Antara perkara yang diberi perhatian termasuk kenaikan elaun anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), penambahbaikan aset keselamatan, pengukuhan kawalan sempadan serta penyediaan kuarters yang lebih baik untuk anggota penguat kuasa.

RM22 bilion diperuntukkan kepada KDN, keselamatan negara terus diperkukuh

Dalam Belanjawan MADANI 2027, sebanyak RM22 bilion diperuntukkan kepada KDN bagi memperkukuh keselamatan dan ketenteraman awam negara.

Peruntukan ini akan menyokong pelbagai keperluan, termasuk kesiapsiagaan operasi, pembangunan infrastruktur, penggunaan teknologi serta kebajikan anggota yang bertugas menjaga keselamatan rakyat.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah peruntukan RM7.1 bilion bagi pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan serta keselamatan, termasuk aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan beruniform di bawah KDN.

Selain itu, pembangunan beberapa kemudahan baharu turut diteruskan, antaranya Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri di Tanjung Kupang, Johor, Kompleks Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras serta Pejabat Imigresen Keningau, Sabah.

Balai polis baharu juga akan dibina di Sungai Rambai, Melaka, Tanjung Malim, Perak dan Batu Lintang, Sri Aman, Sarawak.

“Peruntukan ini membolehkan usaha memperkukuh keselamatan negara diteruskan secara lebih menyeluruh, meliputi kesiapsiagaan operasi, pembangunan infrastruktur, penggunaan teknologi, penyampaian perkhidmatan serta kebajikan anggota.

“Bagi saya, kepercayaan ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap peranan KDN, tetapi satu tanggungjawab untuk memastikan setiap peruntukan diterjemahkan kepada hasil yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat.”

RM490 juta untuk AKPS, 48 mesin pengimbas baharu di pintu masuk negara

Bukan setakat aset keselamatan, kawalan di pintu masuk negara juga akan dipertingkatkan menerusi peruntukan RM490 juta kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Malah sebanyak 48 mesin pengimbas badan dan bagasi baharu akan dipasang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.

Langkah ini bertujuan memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk negara, di samping membantu meningkatkan kecekapan pemeriksaan.

Dalam masa yang sama, kerajaan turut mengambil langkah memudahkan beberapa urusan imigresen bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan menarik pelaburan bernilai tinggi.

“Mulai 1 Januari 2027, pasangan pemegang Pas Penggajian Kategori I dibenarkan bekerja, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

“Proses permohonan awal Pas Pekerjaan bagi syarikat MyABE tersenarai juga akan dipermudah menerusi kerjasama antara agensi, dengan sasaran penyelesaian dalam tempoh lima hari bekerja.”

Bagi pemegang Pas Nomad DE Rantau sedia ada yang mencapai had dua tahun pula, tempoh pas akan dilanjutkan selama dua tahun lagi, tertakluk kepada syarat.

Kerajaan turut mengumumkan pembangunan akses terus dari Pintu Timur Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam ke Inland Container Depot menerusi pelaburan swasta bagi mempercepat pergerakan kargo.

Jelaslah, peranan KDN bukan sekadar memastikan keselamatan negara terpelihara, tetapi turut menyokong kelancaran perdagangan dan aktiviti ekonomi.

Nak elak kena scam? Aplikasi AI akan bantu semak nombor telefon dan akaun bank

Dengan kes penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan, teknologi turut menjadi antara fokus dalam usaha melindungi rakyat.

Menerusi Belanjawan 2027, Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) akan membangunkan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan orang ramai menyemak nombor telefon, akaun bank dan pautan yang mencurigakan sebelum melakukan transaksi.

Inisiatif ini diharap dapat membantu orang ramai mengenal pasti kemungkinan penipuan lebih awal, sekali gus mengurangkan risiko menjadi mangsa scam.

“Pada masa yang sama, Bahagian D11 PDRM akan memperkukuh sistem Malaysia Internet Crime Against Children menerusi penggunaan analitik lanjutan bagi meningkatkan pengesanan awal pelaku dan rangkaian eksploitasi seksual kanak-kanak.

“Sebanyak RM1.1 bilion turut diperuntukkan secara bersama kepada badan penguat kuasa, termasuk PDRM, bagi memperkukuh kesiapsiagaan operasi.”

Aspek keselamatan penerbangan juga tidak diketepikan apabila ujian dadah dan alkohol diwajibkan kepada juruterbang serta kru penerbangan.

Selain itu, kerajaan akan meneruskan pembaharuan undang-undang jenayah dan keterangan bagi memperkukuh perlindungan terhadap mangsa jenayah, kanak-kanak serta golongan rentan.

Elaun anggota RELA naik, kebajikan anggota turut diberi perhatian

Dalam pada itu Saifuddin turut menghargai keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan anggota RELA yang selama ini membantu menjaga keselamatan dan kesejahteraan komuniti.

“Ada yang perlu bertugas tanpa mengira waktu, berjauhan daripada keluarga dan berdepan pelbagai risiko ketika menjalankan operasi.”

Jadi, selain memastikan mereka mempunyai aset serta kemudahan operasi yang mencukupi, kebajikan diri dan keluarga anggota juga perlu diberikan perhatian.

Dalam Belanjawan 2027, sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi pembinaan kuarters baharu di Depot Tahanan Imigresen Langkap, Perak dan Papar, Sabah.

Kemudahan ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 900 anggota.

Kerajaan turut menyediakan peruntukan RM2.3 bilion secara merentas perkhidmatan awam bagi pembinaan dan penyelenggaraan kuarters, termasuk untuk anggota polis, tentera, bomba, guru dan doktor.

“Dengan kemudahan kediaman yang lebih baik, diharapkan kebajikan anggota serta keluarga mereka dapat terus dipelihara ketika mereka menjalankan amanah kepada negara.”

Bantuan STR dan SARA diteruskan, doktor kontrak turut diberi perhatian

Selain isu keselamatan, Belanjawan MADANI 2027 turut memberi perhatian kepada keperluan rakyat dalam kehidupan seharian.

Antara komitmen kerajaan yang diketengahkan ialah usaha menyelesaikan kemelut doktor kontrak, memperkukuh perlindungan sosial untuk pekerja e-hailing dan p-hailing serta golongan bekerja sendiri, di samping meneruskan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menariknya, pelepasan cukai berkaitan pemvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar turut diumumkan.

Walaupun perkara ini mungkin nampak kecil berbanding peruntukan besar untuk pembangunan negara, ia menunjukkan bahawa keperluan masyarakat datang dalam pelbagai bentuk dan tidak terhad kepada satu aspek sahaja.

Bagi Saifuddin, pendekatan ini selari dengan tema Belanjawan MADANI Kelima, iaitu Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi.

Malaysia boleh terus mengejar pembangunan dan kemajuan yang lebih besar, tetapi kebajikan rakyat serta mereka yang berkhidmat untuk negara tidak boleh diketepikan.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap peruntukan yang diberikan kepada KDN merupakan amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, integriti dan berkesan.

“Harapnya, segala inisiatif yang diumumkan bukan sahaja memperkukuh keselamatan negara, tetapi turut membawa manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat dalam kehidupan seharian.”

Sumber: Siaran Media Kementerian Dalam Negeri

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.