Seorang bekas anggota polis yang mendakwa pernah menjadi mangsa kekerasan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, tidak akan mengambil tindakan saman terhadap pegawai kanan berkenaan.
Peguam yang mewakilinya, Kamal Hisham Ja’afar berkata, tindakan saman sivil tidak dapat diteruskan kerana kes berkenaan sudah melepasi tempoh had masa enam tahun seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 6 Akta Had Masa 1953.
Bagaimanapun, pengadu masih berharap laporan polis yang dibuat pada 2015 dapat diberi perhatian dan disiasat secara adil oleh pihak polis serta Peguam Negara (AG).
Menurut Kamal Hisham, laporan berkenaan merupakan satu-satunya peluang yang masih ada buat anak guamnya untuk mendapatkan keadilan.
“Laporan berkenaan merupakan satu-satunya ruang dan peluang yang masih ada untuk anak guamnya mendapatkan keadilan.
“Pengadu menyerahkan sepenuhnya kepada kuasa budi bicara dan kebijaksanaan AG untuk membuat tindakan seadil-adilnya,” katanya bersama seorang lagi peguam, Muhammad Nor Tamrin.

Artikel berkaitan: Mohd Shuhaily Dikembalikan Ke PDRM, Penempatan AKPS Ditamatkan
Artikel berkaitan: Salah Seorang Anggota Didakwa Dikasari Shuhaily Dilaporkan Alami Trauma, Perlu Rawatan Psikiatri
Pada 28 Oktober lalu, media melaporkan seorang lagi bekas anggota polis mendakwa pernah menjadi mangsa kekerasan Mohd Shuhaily ketika beliau bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak pada 19 November 2015.
Susulan itu, Kamal Hisham mendakwa tiada sebarang tindakan diambil terhadap laporan polis berkenaan dan menggesa AG supaya meneliti semula perkara tersebut.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili Mohd Shuhaily, Muhammad Rafique Rashid Ali mempersoalkan sama ada dakwaan yang dibangkitkan selepas lebih sedekad itu bertujuan membentuk persepsi negatif terhadap anak guamnya.
Untuk rekod, Mohd Shuhaily didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu atas dakwaan melakukan kekerasan terhadap dua anggota polis di kaunter J, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kejadian itu didakwa berlaku antara jam 1.17 tengah hari hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Kamal Hisham memaklumkan saman sivil yang difailkan oleh dua anggota polis terbabit telah berjaya diserahkan kepada peguam Mohd Shuhaily pada 11 November lalu.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 Disember depan sebagai tarikh pengurusan kes bagi kehadiran semua pihak yang terlibat.
Sumber: Sinar Harian
