Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan bahawa penjawat awam yang ditahan kerana disyaki membantu kemasukan seorang wanita warga asing secara tidak sah sememangnya anggota agensi itu sendiri.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata penahanan suspek berjaya dilakukan selepas seorang pegawai wanita AKPS mengesan tingkah laku mencurigakan membabitkan pegawai atasannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 sebelum bertindak membuat laporan.
Menurut beliau, tindakan pantas dan berintegriti pegawai wanita tersebut wajar diberikan pujian kerana berani mengambil tindakan terhadap pegawai atasannya demi menjaga ketelusan di pintu masuk negara.
Artikel berkaitan: Dakwa Pernah Jadi Mangsa Kekerasan, Bekas Anggota Polis Tak Jadi Saman Shuhaily Sebab…
Artikel berkaitan: Mohd Shuhaily Dikembalikan Ke PDRM, Penempatan AKPS Ditamatkan

“Penahanan itu dilakukan oleh anggota AKPS sendiri selepas seorang pegawai wanita menyedari pegawai atasannya melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan.
Saya amat menghormatinya dan bercadang bertemu beliau secara peribadi dalam masa terdekat untuk menyampaikan penghargaan.
Hanya seorang individu diperlukan untuk mengubah apa yang berlaku di lapangan,” katanya.
Shuhaily turut menyifatkan keberanian pegawai wanita berkenaan sebagai langkah penting ke arah mentransformasikan AKPS serta membanteras sebarang salah laku di sempadan negara. Malah, beliau berikrar untuk sentiasa memberikan sokongan peribadi kepada pegawai tersebut.
“Beliau berani menentang arus dan saya akan sentiasa berada di belakangnya. Itu janji saya kepadanya,” ujarnya.
Beliau juga berharap lebih ramai anggota AKPS mencontohi sikap berani dan tidak berkompromi terhadap sebarang pelanggaran integriti dalam agensi itu.
Mengulas mengenai perkembangan kes, Shuhaily memaklumkan suspek kini berada dalam tahanan polis dan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), khususnya Seksyen 26B(d).
Beliau turut berharap siasatan lanjut polis dapat mengenal pasti sekiranya wujud rangkaian lebih besar di sebalik kegiatan membantu kemasukan warga asing tanpa dokumen sah itu.
“Kita berharap polis dapat membongkar rangkaian yang jauh lebih besar susulan penahanan ini.
Saya bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam perkara ini. Tahanlah seramai mana yang perlu.
Rakyat Malaysia sudah muak dengan kegiatan seperti ini,” katanya tegas.
Apabila ditanya sama ada kes berkenaan turut melibatkan manipulasi pengaturan kaunter imigresen, Shuhaily berpandangan kemungkinan persediaan awal ada dilakukan sebelum kejadian berlaku, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan polis masih berjalan.
Sebagai rekod, laporan polis berhubung insiden tersebut diterima pada jam 1.18 pagi, 17 November lalu, selepas pegawai AKPS terbabit melaporkan kemasukan seorang wanita warga asing secara haram melalui kaunter imigresen di balai ketibaan KLIA Terminal 2.
Sumber: Berita Harian
