Bank Rakyat nampaknya semakin ke depan dalam membantu usahawan tempatan mengepakkan sayap bisnes ke peringkat antarabangsa.
Menerusi inisiatif Bank Rakyat BizMatch: “Making Malaysian Businesses Great” yang berlangsung di Shanghai baru-baru ini, usahawan Malaysia kini berpeluang meluaskan pasaran dan membina jalinan kerjasama rentas sempadan dengan syarikat gergasi di China.
5 Syarikat Tempatan Temui 30 Syarikat China
Program berimpak tinggi ini membawa lima syarikat usahawan bimbingan Bank Rakyat untuk membentangkan potensi bisnes masing-masing di hadapan 30 syarikat dari China.
Bukan calang-calang sektor yang dibawa, merangkumi Biotech, pemprosesan sarang burung walet, industri unggas bersepadu, hinggalah ke rangkaian peruncitan dan pengedaran makanan sejuk beku.
Antara fokus utama pencarian peluang menerusi sesi ini termasuklah peluang pasaran Halal dan pengedaran produk di China,kerjasama OEM & Private-Label untuk penjenamaan semula serta pengukuhan rantaian bekalan antarabangsa.
Siapa 5 Syarikat Jaguh Tempatan Ini?
Antara syarikat tempatan yang terlibat ialah Fuciphagus Agritech Sdn Bhd yang menjalankan pemprosesan serta eksport produk sarang burung walet berasaskan bioteknologi.
Selain itu, Ayamas Integrated Poultry Industries Sdn Bhd turut terlibat dalam industri unggas bersepadu merangkumi makanan ternakan, pembiakan dan pengeluaran.
Sementara itu, Tunas Manja Sdn Bhd (TMG GROUP) merupakan syarikat yang mengendalikan rangkaian pasar raya dan peruncitan barangan basah serta barangan runcit menerusi TMG Mart.
Turut disenaraikan ialah MFR Trade (M) Sdn Bhd, yang menjalankan perniagaan pemborongan dan peruncitan makanan sejuk beku, daging serta ayam, selain mengendalikan kedai serbaneka.
Satu lagi syarikat tempatan yang terlibat ialah Empyrean Global Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mengimport dan menjual produk makanan premium seperti minuman, kekacang, buah kering serta produk tenusu.
Malaysia & China Saling Melengkapi
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff, pasaran China merupakan hab perdagangan, teknologi dan inovasi utama dunia yang perlu diterokai dengan yakin oleh syarikat tempatan.
“Syarikat Malaysia perlu menembusi pasaran ini dengan yakin, persiapan rapi dan tawaran nilai yang jelas. Pada masa sama, Malaysia turut menawarkan platform kukuh untuk syarikat China menjangkau pengguna di Asia Tenggara.”
Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak menegaskan bahawa institusi perbankan itu akan terus memperkukuh peranan dalam membantu usahawan meluas ke pasaran antarabangsa seiring dengan kepatuhan nilai koperasi dan tanggungjawab nasional.
“Bank Rakyat telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia selama lebih tujuh dekad. Sepanjang tempoh ini, mandat kami kekal jelas; iaitu untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan sosial, pelanggan, serta komuniti kami.
“Pelanggan semakin mengharapkan perkhidmatan perbankan yang mudah, mudah dicapai, dan responsif. Perniagaan pula memerlukan akses yang lebih kukuh kepada pasaran digital dan rangkaian antarabangsa. Institusi kewangan juga mesti menggunakan teknologi untuk meningkatkan kecekapan, mengurus risiko, dan meluaskan rangkuman kewangan.
“Justeru, Bank Rakyat berhasrat untuk meneroka langkah-langkah praktikal yang boleh membantu perniagaan Malaysia mendapat pendedahan lebih luas ke pasaran antarabangsa, terutamanya di China.”
Korang rasa perniagaan Halal tempatan mampu ‘tawan’ pasaran China tak lepas ni?
