in

Bisnes Kecil Nak Tembusi Pasaran Global? Kerajaan Sedia RM15 Bilion Bantu 10,000 PMKS

Lm Featured Image 900 X 550 Px 2160 X 1080 Px 47

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Bagi korang yang sedang mengusahakan perniagaan sendiri, mesti ada impian nak tengok produk atau servis yang ditawarkan bukan sahaja dikenali di Malaysia, malah mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Tapi nak kembangkan perniagaan ke tahap lebih besar bukanlah sesuatu yang mudah selain memerlukan modal, usahawan juga perlu bersedia dari segi strategi, teknologi dan pengetahuan tentang pasaran luar negara.


Sebab itu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan inisiatif PowerUp 10k dengan peruntukan pembiayaan sehingga RM15 bilion bagi menyokong usaha meningkatkan skala 10,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Perkara itu diumumkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong ketika merasmikan Persidangan Eksport Enterprise 50 (E50) anjuran SME Corp. Malaysia di Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2026.

Bukan Setakat Besarkan Bisnes, PMKS Turut Digalakkan Tembusi Pasaran Antarabangsa

Whatsapp Image 2026 10 16 At 11.10.00 Am 1

 

Menerusi inisiatif ini, agenda meningkatkan skala perniagaan menjadi antara keutamaan KUSKOP bagi membantu lebih banyak PMKS berkembang dan meningkatkan daya saing mereka.

Usaha ini turut seiring dengan Belanjawan 2027 yang menetapkan tahun berkenaan sebagai Tahun PMKS Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Belanjawan 2027 menyediakan sokongan menyeluruh berjumlah RM67.9 bilion untuk membantu perniagaan menerusi akses kepada pembiayaan, skim jaminan, pengembangan pasaran, pembangunan kemahiran serta pendigitalan dan automasi.

“Antara peruntukan yang diumumkan termasuk RM32 bilion dalam bentuk jaminan pembiayaan melalui SJPP dan CGC, selain RM1.06 bilion khusus untuk membantu perniagaan mengembangkan pasaran ke peringkat antarabangsa.”

Kerajaan turut memperuntukkan RM3.3 bilion bagi menggalakkan peningkatan kemahiran serta RM223 juta untuk penerapan teknologi digital, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan automasi perniagaan.

Persidangan E50 Bantu Usahawan Bersedia Untuk Pasaran Global

Selain sokongan pembiayaan, pendedahan kepada pasaran antarabangsa juga penting supaya usahawan tempatan lebih bersedia untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Atas tujuan itu, Persidangan Eksport E50 dianjurkan buat julung kalinya bersempena Program Anugerah E50 tahun ini.

Dianjurkan oleh SME Corp. Malaysia, persidangan tersebut menghimpunkan hampir 300 peserta daripada syarikat PKS, khususnya syarikat yang tercalon untuk Anugerah E50 serta alumni program berkenaan.

“Peserta turut mendapat pendedahan mengenai trend pasaran, peraturan dan persediaan eksport menerusi perkongsian penceramah serta ahli panel daripada agensi berkaitan, termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).”

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal bin Dato’ Nainy berkata, sebanyak 66 program pembangunan yang memberikan tumpuan kepada akses pasaran telah dilaksanakan pada tahun ini dengan jumlah peruntukan RM293.98 juta.

Menurutnya, program berkenaan menyediakan sokongan pembiayaan dan pembinaan kapasiti bagi mengukuhkan keupayaan PKS, sekali gus membantu mereka meluaskan pasaran serta meningkatkan kesediaan untuk mengeksport produk dan perkhidmatan.

Bukan Eksport Sahaja, Pendigitalan Dan AI Turut Jadi Fokus

Dalam usaha membantu PMKS berkembang, penggunaan teknologi digital dan AI juga menjadi antara aspek yang diberikan perhatian.

Pada 14 Oktober 2026, SME Corp. Malaysia turut menganjurkan Seminar Peningkatan Skala Digital dan AI untuk PKS di bawah Program PRESTIGE 2.0: Global Value Chain (GVC).

Seminar bertemakan “Tech Up, Scale Up” itu bertujuan membantu PKS meningkatkan skala perniagaan melalui penerapan pendigitalan, automasi dan teknologi.

Kira-kira 300 PKS, terutamanya daripada sektor pertumbuhan dan bernilai tinggi (High Growth, High Value atau HGHV), mendapat manfaat daripada program tersebut.

Selain itu, majlis perasmian Persidangan Eksport E50 turut menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dengan Entrepreneurship Development Company (EDC) Uzbekistan, LAZADA Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Secara keseluruhannya, pelbagai usaha ini memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan perniagaan tempatan, daripada aspek pembiayaan dan penggunaan teknologi hinggalah kepada persediaan menembusi pasaran antarabangsa.

Dengan sokongan yang disediakan, PMKS Malaysia berpeluang memperkukuh perniagaan masing-masing dan meneroka pasaran yang lebih luas.

Sumber: Siaran Media Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP)

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.