in

Bukan Sekadar Menabung, Bank Rakyat Kongsi Rahsia Kewangan Tenang!

Ana Sr 10

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Bila sebut pasal pengurusan duit, ramai antara kita yang kadang-kadang terlepas pandang bab simpanan kecemasan, apatah lagi nak bezakan antara keperluan dengan kehendak selain ditambah pula risiko terdedah kepada jenayah penipuan siber dan scammer makin membimbangkan! 

Menyedari hakikat pentingnya ilmu pengurusan wang dalam kehidupan seharian, Bank Rakyat terus komited memperkasa daya tahan kewangan masyarakat menerusi penganjuran Program Bulan Literasi Kewangan 2026 yang bertempat di Kompleks Pembangunan Asnaf Lembaga Zakat Negeri Kedah, baru-baru ini.


Bank Rakyat dalam kenyataan berkata, penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperluas pendidikan dan keterangkuman kewangan agar lebih ramai masyarakat mempunyai pengetahuan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak.

Menurutnya usaha mendekati komuniti melalui pendidikan kewangan sebegini sememangnya sejajar dengan aspirasi #UntukSemua, khususnya dalam memberi tumpuan kepada golongan yang masih berdepan kekangan akses kepada kemudahan serta pengetahuan kewangan.

“Perancangan kewangan yang berkesan bermula dengan langkah kecil yang konsisten seperti menabung, berbelanja mengikut kemampuan dan memanfaatkan kemudahan digital secara bijak serta bertanggungjawab. 

“Apabila masyarakat memiliki tahap literasi kewangan yang tinggi, mereka lebih bersedia menghadapi sebarang cabaran ekonomi serta berupaya merancang masa depan dengan yakin.”

Sambutannya Meriah, Siap Bincang Isu Jenayah Siber!

Membawakan tema cukup bermakna iaitu “Bijak Wang Dulu, Tenang Bila Perlu”, program anjuran Bank Rakyat ini berjaya menarik kehadiran lebih 1,200 orang pengunjung serta melibatkan penyertaan daripada lebih 37 buah institusi pendidikan! 

Program ini juga diadakan bagi menyokong Bulan Literasi Kewangan anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) yang dipengerusikan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Bukan sekadar program biasa-biasa, pelbagai perkongsian padat dan bermanfaat dikupas menerusi empat sesi utama iaitu Bijak Wang Dulu, Tenang Bila Perlu, Urus Kewangan, Sejahtera Kehidupan, Perbankan Tanpa Batas di Hujung Jari Anda serta Penipuan Jenayah Siber dan Digital.

Tak cukup dengan itu, para pengunjung turut menerima input berguna berkaitan pengurusan kredit menerusi sesi penerangan khas daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Alor Setar.

Untuk rekod, jelajah mendidik masyarakat ini bukanlah perkara baharu buat Bank Rakyat. 

“Program di Alor Setar ini merupakan kesinambungan usaha murni mereka selepas berjaya dianjurkan di Tenom, Sabah (2023), Kota Bharu, Kelantan (2024) dan Bintulu, Sarawak (2025).”

Hulur Bantuan Zakat & Persekolahan Lebih RM350,000

Selain berkongsi ilmu kewangan, majlis tersebut turut diserikan dengan sumbangan zakat Bank Rakyat berjumlah RM347,250 yang diagihkan kepada 24 buah sekolah di sekitar Alor Setar.

Pada masa yang sama, Yayasan Bank Rakyat turut tampil menyerahkan bantuan awal persekolahan berjumlah RM3,750 kepada anak-anak di Pertubuhan Jagaan Kasih Anak Yatim dan Anak Asnaf Kuala Nerang bagi meringankan beban perbelanjaan mereka.

Capaian Tanpa Batas Menerusi ‘Ar-Rahnu on Wheels’ (ARROW)

Bagi memastikan penduduk di luar bandar atau kawasan pedalaman tidak ketinggalan, Bank Rakyat turut memperluas capaian perbankan mereka menerusi inisiatif Ar-Rahnu on Wheels (ARROW).

Perkhidmatan Bank Bergerak Alor Setar yang telah mula beroperasi sejak 2016 ini dinaik taraf kepada ARROW pada 2024 dengan kemudahan Ar-Rahnu. 

Melalui lori bergerak ini, penduduk setempat boleh membuka akaun, membuat urusan deposit dan pengeluaran tunai, membayar bil serta memindahkan dana dengan mudah tanpa perlu bersusah-payah menempuh perjalanan jauh ke cawangan bank!

Sumber: Siaran Media Bank Rakyat.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.