Zaman sekarang ini, macam-macam produk kewangan baru muncul sampai kadang-kadang kita sebagai pengguna pun keliru sama ada betul-betul patuh Syariah atau tidak.
Sebenarnya, sebelum sesuatu produk bank dilancarkan kepada orang ramai, setiap kontrak dan aliran transaksi akan disemak dengan sangat teliti oleh pakar Syariah supaya bebas daripada unsur riba atau keraguan.
Bagi memastikan urusan perbankan sentiasa selari dengan hukum syarak, Bank Rakyat baru-baru ini telah mengambil langkah proaktif memperkukuh kepakaran Syariah mereka di peringkat antarabangsa menerusi International Fatwa Advancement (iFTA) 2026 di Amman, Jordan.
40 Pakar Syariah Malaysia ‘Berkampung’ Di Jordan

Program yang berlangsung dari 1 hingga 8 November 2026 ini dihadiri 40 orang pakar bersama pengamal Syariah terdiri daripada institusi kewangan, institusi fatwa serta institusi pengajian tinggi.
Majlis anjuran bersama Bank Rakyat dengan Maybank Islamic Berhad dan Dar al-Ifta’ al-‘Amm Jordan turut mendapat kerjasama Association of Shariah Advisors in Islamic Finance (ASAS) serta Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang.
Selain itu, antara wakil yang hadir termasuklah, Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Rakyat & Maybank Islamic, Bank Islam & Bank Muamalat dan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Negeri Perlis serta Wilayah Persekutuan.
Kupas Isu Kewangan Moden Bersama Mufti Jordan
Menerusi iFTA 2026, para peserta mendalami kaedah penelitian hukum dan metodologi pengeluaran fatwa bagi menyelesaikan isu-isu Syariah kontemporari, khususnya dalam sektor kewangan Islam.
Menurut Bank Rakyat dalam kenyataan, perkongsian ilmu bersama para mufti dan ilmuwan di Jordan sangat penting untuk memperkukuh keupayaan ijtihad dalam menilai sesuatu isu lebih teliti selari dengan perkembangan industri semasa.
“Kefahaman yang mendalam terhadap metodologi fatwa penting dalam menyokong penilaian produk, perkhidmatan dan urusan perbankan agar perkembangan perniagaan sentiasa berpandukan prinsip Syariah.”
Majlis Penutup Disempurnakan Mufti Besar Jordan
Majlis penutup program berprestij ini telah disempurnakan oleh Mufti Besar Kerajaan Hasyimiah Jordan, Dr Ahmad Ibrahim Hasan al-Hasanat yang turut menyampaikan ucaptama serta sijil kepada para peserta.
Turut menyampaikan ucaptama pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Islam merangkap CEO Maybank Islamic Berhad, Mohamad Yasin Abdullah.
Pengguna Lebih Yakin Berurusan Tanpa Was-Was
Secara keseluruhannya, penganjuran iFTA 2026 membuka ruang kerjasama penyelidikan dan latihan yang lebih luas antara institusi kewangan di Malaysia dengan pakar di Jordan.
Buat kita sebagai pengguna, inisiatif seperti ini memberi jaminan bahawa setiap produk dan perkhidmatan Bank Rakyat sentiasa diteliti oleh pakar bertauliah—sekali gus memelihara keyakinan pelanggan terhadap pematuhan Syariah dalam setiap urusan perbankan.
Sumber: Siaran Media Bank Rakyat
