in

[Video] “Bagi Rating Ikut ‘Akhlak’” – Pekerja Pusat Hidupan Liar Nilai Perwatakan Kucing Liar Raih Perhatian Netizen

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Bagi mereka yang gemarkan haiwan, sudah pasti ada yang memilih kerjaya sebagai veterinar, penjaga zoo dan apa sahaja pekerjaan yang melibatkan penjagaan haiwan.


Untuk mendekatkan diri dan lebih mengenali ‘perlakuan’ dan ragam haiwan-haiwan yang dijaga ini, sudah semestinya kita perlu melatihnya atau sering berhubungan dengannya.

Seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, pekerja di sebuah pusat hidupan liar ini telah memuat naik satu klip video yang memaparkan ‘ragam’ dan keletah kucing-kucing liar yang dijaganya.

Klip video ini pada awalnya telah dimuat naik oleh pusat hidupan liar Wildcat Ridge di laman TikTok mereka dan akhirnya tular pula sehingga ke Twitter dan berjaya menarik perhatian netizen yang terhibur dengan gelagat kucing-kucing liar ini.

 

Bagi ‘rating’ 1 hingga 10 ikut ‘akhlak’

Dalam klip video tersebut, penjaga pusat hidupan liar ini dilihat sedang bertugas untuk memberi makan kepada kucing-kucing liar di bawah jagaannya.

Bukan setakat hanya memberi makan, dia malah sempat pula memberi ‘rating’ dari 1 hingga 10 untuk kesemua kucing-kucing liar itu berdasarkan kriteria-kriteria tertentu.

Apa yang menggelikan hati, kucing-kucing tersebut telah diberikan ‘rating’ berdasarkan kepada ‘akhlak’ dan ‘ketertiban’ mereka sewaktu diberi makan!

Kesemua kucing itu telah dinilai dan diberikan markah berdasarkan kepada sikap masing-masing sama ada menunjukkan kesopanan dan kesabaran, gelojoh atau langsung tidak ‘berterima kasih’ kepada si pemberi makanan.

Bagi kucing liar yang mempunyai perilaku ‘bersopan-santun’ sewaktu diberi makan, maka ‘rating’ yang diberikan adalah tinggi.

Sekiranya kucing liar tersebut menunjukkan ‘akhlak’ yang tidak memuaskan hati pula, maka ‘rating’ yang diberikan adalah lebih rendah.

 

Kalau ‘gelojoh’, markah rendah 

Contohnya, bagi kucing liar yang bernama Sassy ini, ia telah diberikan ‘rating’ sebanyak 3 per 10 sahaja disebabkan agak gelojoh ketika menerima makanan dan terus ‘menonong’ pergi tanpa mengucapkan terima kasih.

Bagi Si Ziva pula, ia telah diberikan ‘rating’ yang terlebih pula iaitu sebanyak 15 per 10 gara-gara terlampau ‘bersopan-santun’ ketika menerima ‘habuan’.

Aduhai, kalau markah rendah tu, maknanya kucing tu enggak punya akhlak lah ye?  

 

Ditonton sebanyak 26 juta kali

Rakaman comel ini telah berjaya meraih perhatian netizen yang rata-ratanya terhibur dengan aksi lucu kucing-kucing ini. Di Tiktok sahaja, klip video ini berjaya meraih lebih daripada 26 juta views.

Bukan itu sahaja, ada juga di antara mereka yang berseloroh dan cuba memadankan personaliti kucing-kucing liar ini dengan diri mereka sendiri.

 

“Ziva macam saya” – Netizen

 

Tugas menjaga haiwan yang sepatutnya mencabar ni pun boleh jadi menyeronokkan tau. 

Baca: “Pengunjung datang kena carut” – Pihak Zoo Terpaksa Asingkan 5 Burung Kakak Tua Sebab Terlalu Banyak Mencarut!

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.