Masih hangat lagi diperkatakan oleh media dan netizen mengenai tragedi di Itaewon yang telah meragut 151 nyawa akibat rempuhan yang berlaku pada Sabtu lepas. Ada juga sebahagian besar yang dilaporkan cedera dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya.
Kejadian tersebut telah mendapat perhatian dunia di mana rata-rata ramai yang tidak menyangka tragedi tersebut akan berlaku lebih-lebih lagi semasa sambutan Halloween yang sepatutnya diraikan dengan gembira namun sebaliknya bertukar duka.
Minggu ini sahaja pelbagai kisah yang telah dikongsikan di media sosial mengenai tragedi gelap tersebut. Misalnya baru-baru ini, seorang mangsa yang terselamat dari insiden rempuhan itu telah berkongsi detik cemas menghadapi situasi panik yang berlaku di Itaewon pada 29 Oktober lalu.
Wanita kongsi detik cemas terselamat daripada insiden rempuhan di Itaewon
Seorang lelaki yang bernama Sung Jae dan berumur 25 tahun adalah salah seorang mangsa yang terselamat dalam kerumunan orang ramai di Itaewon pada Sabtu lepas. Menurut hantaran yang dikongsikan di laman Twitter, dia kini berada di hospital dan berharap agar dapat discharge dalam beberapa hari lagi.
I’m a survivor of the #ItaewonCrowdCrush on 29 of October. Here is my experience of the terrific incident. Please also help me find my saviors! #Itaewon #ItaewonTragedy #ITAEWONHALLOWEEN pic.twitter.com/d4RyXU47Dl
— 성재 (@BdanceMr) October 31, 2022
Menurut Sung Jae, dia pada awalnya telah merancang berjumpa rakannya untuk menyambut Halloween bersama-sama di Itaewon seperti mana mereka menyambutnya pada tahun-tahun yang sebelumnya.
“Ini bukan kali pertama saya ke Itaewon dan saya terbiasa dengan tempat sesak. Kami sampai pada pukul 8 malam dan merancang untuk cari tempat makan. Pada waktu ini, orang dah mulai ramai di lorong ini.”
Dia juga mengatakan bahawa kawasan tersebut sangat sukar untuk dimasuki kerana terlalu ramai orang namun dia cuba juga untuk masuk walaupun sudah bersesak-sesak.
“Kami selepas itu sedar bahawa situasi semakin teruk dan masing-masing bertolak-tolak. Kami juga tidak boleh berpusing ke tempat lain dan terpaksa ikut saja orang lain. Kami pada awalnya tergelak kerana fikir betapa tak masuk akalnya situasi sebegini sehinggalah saya sukar untuk bernafas kerana tekanan daripada orang belakang yang menolak saya.”
Situasi makin panik, ada orang dah jerit jangan tolak dan beri amaran!
Situasi juga bertambah panik apabila ada orang lain sudah mula memberi amaran supaya jangan tolak-menolak antara satu sama lain yang mungkin membawa kepada kemalangan.
“Orang dah mula menjerit patah balik.”
Lebih bertambah panik apabila lelaki itu sedar yang dia telah terpisah dari kawannya dalam kerumunan orang ramai itu. Dia juga melihat bahawa orang ramai menuju ke arah lorong kecil di mana ia membawa ke jalan utama dan keluar.
Pada awalnya, lelaki tersebut berasa lega kerana akhirnya dapat keluar daripada kesesakan itu tetapi ia bukanlah seperti apa yang disangkakan.
“Pada awalnya saya lega dan ingat boleh keluar, tetapi selepas itu orang sudah mulai jatuh dan tergelincir. Orang depan saya dah ramai yang jatuh sebab tekanan dari belakang yang sangat kuat. Saya lihat ada perempuan di depan saya jatuh ke atas orang lain dan dua ke tiga orang lain telah jatuh ke atasnya. Pada akhirnya saya tidak dapat melihat dia.”
Namun, apa yang berlaku selepas itu lebih menyedihkan. Sung Jae pula ditolak kuat oleh orang belakang dan turut jatuh sama seperti apa yang dia lihat pada waktu itu.
“Selepas itu, ada orang pula jatuh belakang saya. Saya tiada peluang untuk menolak. Perasaan teruk pernah saya hadap. Saya ingat saya akan mati. Saya cuba untuk bernafas dengan baik. Saya ada lihat wanita sebelah kiri saya yang sudah pengsan dan mukanya pucat. Tak tahu sekiranya dia terselamat atau tidak.”
Sung Jae terselamat tapi cedera agak kritikal
Dalam beberapa minit, kumpulan penyelamat akhirnya sampai dan mula untuk menarik mangsa-mangsa yang terperangkap untuk keluar dari lorong kecil tersebut. Sung Jae juga difahamkan masih sedar pada ketika itu sebelum dia pengsan dan sedar-sedar sudah berada di dalam ambulans.
“Saya rasa macam orang biasa yang selamatkan saya. Sekurang-kurangnya seorang warga asing. Saya berharap agar dapat jumpa dia! Saya memakai baju dengan kemeja denim dan berseluar hitam.”
Sung Jae yang dimasukkan ke hospital mengalami kecederaan yang agak kritikal seperti patah tulang rusuk, lebam-lebam dan kaki terseliuh.
“Saya tak akan lupa apa yang berlaku di Itaewon dan saya berterima kasih kepada pihak penyelamat, polis dan orang ramai yang turut cuba membantu mangsa seperti saya. Ia merupakan pengalaman yang menakutkan dan sepatutnya tidak berlaku.”
Di akhir kata, Sung Jae juga berkesempatan untuk mengucapkan takziah kepada mangsa yang terkorban dan mengingatkan agar lebih waspada lebih-lebih lagi semasa berada dalam kerumunan orang ramai.
Syukur masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan…