Parti politik yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu membuat perakuan gabungan politik untuk penubuhan kerajaan baharu sebelum jam 2 petang, esok, Isnin, 21 November 2022.
Selain itu, nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10 juga perlu dikemukan esok pada waktu yang sama.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dokumen mengenai keputusan PRU15 yang dikemukakan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam 1.15 petang tadi jelas menunjukkan tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.
“Sehubungan dengan itu, menjunjung titah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah, Istana Negara meminta kerjasama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk memohon kepada ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti poliftik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui antara parti-parti politik atau gabungan parti-parti politik berkenaan bagi pembentukan kerajaan baharu pasca PRU-15.
Ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik tersebut akan diminta Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan mengenai gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui masing-masing serta mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat berikutan gabungan parti-parti politik berkenaan untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana Negara sebelum jam 2.00 petang, esok,”katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, titah perkenan dan keputusan Seri Paduka Baginda mengenai pembentukan kerajaan baru dah pelantikan Perdana Menteri menteri menerusi proses yang sudah dijelaskan adalah muktamad.
“Seri Paduka Baginda menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU-15 dengan tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara kerana negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya.
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara,”katanya.
Sumber: Bharian
Baca: PRU15: Gagal Menang Satu Pun Kerusi, BN ‘Karam’ Di Parlimen Pulau Pinang