Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tampil memohon maaf susulan tular sebuah video yang memaparkan tindakan seorang petugas pengiringnya yang didakwa telah menjerkah pengguna jalan raya lain.
Dalam hantaran tular itu, seorang pengguna meluahkan rasa tidak puas hati berdepan situasi berkenaan ketika tersangkut dalam kesesakan lalu lintas pada waktu puncak berhampiran sebuah plaza tol.
Menurut individu terbabit, petugas pengiring yang menaiki sebuah Proton X70 secara tiba-tiba membuka tingkap kenderaan lalu memakinya kerana tidak memberi laluan ketika keadaan jalan raya sesak.
“Nak tanya pengiring MB Selangor ni, tadi tengah sesak teruk masa orang balik kerja, dia naik Proton X70 boleh pula turunkan tingkap jerkah maki sebab tak beri laluan.
“Dia tak nampak ke dekat tol, celah mana nak mencilok depan ada kereta. Kawan dia dekat depan pun tengah bukakan jalan. Tiba-tiba kau buka tingkap maki dekat kereta aku,” luahnya kesal.

Artikel berkaitan: “Tugasan mencabar & penuh risiko” – MB Selangor Ketuai Delegasi Global Sumud Flotilla 2.0, Bawa Amanah PM Ke Gaza
Artikel berkaitan: Pengawal Pengiring Kenamaan Mengaku Salah Cederakan Pemandu E-hailing OKU
MB Selangor tegur pengawal pengiring
Menerusi satu kenyataan di media sosial, Amirudin memaklumkan pihaknya telah membuat semakan berhubung insiden yang dipercayai berlaku pada petang Isnin itu.
“Berhubung isu video yang tular ini, setelah semakan dilakukan, secara peribadi saya memohon maaf atas perlakuan tersebut.
“Teguran telah dibuat ke atas petugas tersebut oleh pentadbiran saya dan akan dielakkan daripada berulang lagi pada masa hadapan.
“Sekali lagi saya mohon maaf,” katanya.

Sumber: Threads
