MySejahtera menjadi aplikasi utama ketika negara diserang pandemik COVID-19 dan sejak negara bertukar ke fasa endemik dengan kelonggaran peraturan, aplikasi itu seakan dilupakan.
Mahu memperluaskan lagi penggunaan MySejahtera, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan sistem janji temu orang ramai menerusi aplikasi tersebut.
Ia bertujuan membantu fasiliti kesihatan primer untuk mengatur jadual perkhidmatan berdasarkan kapasiti masing-masing dan mengelakkan kesesakan di situ.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata perkhidmatan itu dimulakan di 673 Klinik Kesihatan dan janji temu boleh dibuat mulai 28 Disember 2022.
Berikut merupakan lapan perkhidmatan yang boleh dibuat dalam MySejahtera:
- Rawatan pesakit luar
- Inisiatif saringan kesihatan kebangsaan (NHSI)
- Saringan kesihatan PeKa B40
- Pemeriksaan kesihatan pra pekerjaan/ pengajian
- Saringan pra-perkahwinan
- Khidmat berhenti merokok
- Perkhidmatan perancang keluarga
- Prosedur (rawatan luka, penukaran tiub dan lain-lain)
Dengan temu janji MySejahtera, pengguna boleh membuat perancangan masa dengan lebih tepat dan juga boleh mengubah slot janji temu sekiranya terdapat masalah. MySejahtera juga akan memberi peringatan automatik apabila tarikh temu janji semakin hampir.
Untuk kes kecemasan, demam atau penyakit berjangkit pula, orang ramai tidak perlu membuat janji temu terlebih dahulu.
Baca: “MySejahtera kini berwajah baru, dapat bantu lihat maklumat kesihatan” – Menteri Kesihatan
Sumber: Utusan