Usahawan yang layak di seluruh negara kini boleh membuat permohonan pembiayaan TEKUN Nasional secara dalam talian menerus. Sistem Permohonan TEKUN Online yang dilancarkan secara rasmi hari ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, sistem itu membolehkan usahawan mendaftar akaun, melengkapkan maklumat peribadi dan perniagaan, memuat naik dokumen serta menghantar permohonan tanpa perlu lagi hadir ke pejabat cawangan-cawangan TEKUN Nasional di seluruh negara.

“Sejak Julai 2026, TEKUN Nasional telah memulakan projek rintis Sistem Permohonan TEKUN Online di Kuala Lumpur, sebelum diperluaskan ke beberapa negeri lain.
Setakat ini, sebanyak 1,624 usahawan telah membuat permohonan secara dalam talian. Daripada jumlah itu, 215 permohonan bernilai RM6.6 juta telah diluluskan.
“Hari ini, selepas melalui fasa rintis, kita melancarkan Sistem Permohonan TEKUN Online secara rasmi untuk semua usahawan yang layak di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran sistem tersebut di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Sim, pelancaran sistem berkenaan merupakan kali pertama permohonan pembiayaan TEKUN dilaksanakan secara dalam talian dalam sejarah hampir 30 tahun agensi itu.
Beliau berkata, kerajaan kini bukan sahaja memberi perhatian kepada jumlah pembiayaan yang sampai kepada usahawan, tetapi turut mahu memperluas dan menambah baik perkhidmatan TEKUN.Secara keseluruhan bagi 2026, TEKUN Nasional telah menyalurkan lebih RM700 juta kepada hampir 31,000 usahawan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, seramai 43% ataupun 13,283 usahawan merupakan penerima pembiayaan kali pertama, melibatkan nilai hampir RM 260 juta.
Proses pembiayaan bawah RM100,000 kini hanya 7 hari

Sim berkata, sejak menerajui KUSKOP, beliau memberi penekanan kepada usaha mengurangkan kerenah birokrasi supaya usahawan dapat menumpukan lebih banyak masa dan tenaga untuk mengembangkan perniagaan tanpa dibebani prosedur yang panjang.
Sehubungan itu, selain memperkenalkan permohonan pembiayaan secara dalam talian, TEKUN turut menambah baik dan mempermudah beberapa proses sedia ada.
Antaranya, tempoh proses permohonan pembiayaan TEKUN bagi nilai di bawah RM100,000 telah dipendekkan kepada hanya 7 hari, berbanding kira-kira 30 hari sebelum ini.
Daripada hampir 31,000 pembiayaan yang diluluskan tahun ini, sebanyak 74.5 peratus diluluskan dalam tempoh satu hingga lima hari, manakala hampir 20 peratus lagi diluluskan dalam tempoh enam hingga 10 hari.
Di bawah pelan rekayasa kerenah birokrasi KUSKOP, TEKUN kini menyasarkan untuk memendekkan lagi proses kelulusan dan penyaluran pembiayaan kepada lima hari.
Semasa Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia di Johor dan Melaka, TEKUN turut menyediakan kemudahan pra-kelulusan pembiayaan sehingga RM20,000 dalam tempoh 24 jam bagi membantu usahawan mikro mendapatkan modal pusingan dengan segera. Sekarang ini, TEKUN Nasional sedang bergerak ke arah menjadikan pra-kelulusan dalam tempoh 24 jam ini sebagai salah satu sasaran perkhidmatan secara berterusan.
Bagi usahawan kecil, setiap hari yang dapat dijimatkan sangat bermakna. Lebih cepat mereka mendapat akses kepada modal, lebih cepat mereka boleh membeli stok, mendapatkan peralatan dan mengembangkan perniagaan,” tambah YB Steven Sim.
TEKUN Corporation meterai kerjasama hampir RM70 juta dengan MOCCIS

Pada majlis sama, TEKUN Corporation Sdn Bhd, iaitu anak syarikat TEKUN Nasional yang mengendalikan perkhidmatan komersial termasuk pengurusan kredit dan pemulihan hutang, turut memeterai Memorandum Persefahaman dengan Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS).MoU tersebut bertujuan meneroka kerjasama dalam bidang perladangan kelapa sawit, hospitaliti, penginapan resort, dewan bankuet, hartanah dan pelaburan jangka panjang.
TEKUN Corporation turut menandatangani kontrak perkhidmatan pengurusan dan pemulihan kredit bernilai hampir RM70 juta bersama MOCCIS, salah sebuah koperasi terbesar di Malaysia.
Sim berkata, kerjasama itu menunjukkan bagaimana syarikat di bawah agensi kerajaan dan gerakan koperasi boleh menggabungkan kepakaran untuk mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih mampan dan berdaya saing.
